ANDERSON cedera tulang pinggul April lalu.
ANDERSON cedera tulang pinggul April lalu.
Izzali Ismail


Alor Setar: Aksi pemain pertahanan Kedah kelahiran Australia, Zac Anderson bakal menjadi taruhan skuad Helang Merah kendalian Nidzam Adzha Yusoff dalam pertemuan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Menurut Nidzam, aksi Anderson sudah dinantikan oleh penyokong dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan ramai menjangkakan dia akan beraksi pada perlawanan menentang UiTM FC Jumaat lalu, bagaimanapun tidak kesampaian kerana dia masih belum bersedia.

“Selepas direhatkan akibat kecederaan tulang pinggul April lalu, kini dia sudah bersedia untuk kembali beraksi selepas mendapat rawatan yang diperlukan.

“Seorang lagi pemain sayap yang berada di bangku simpanan pada perlawanan menentang UiTM Jumaat lalu iaitu Syazwan Zainon atau Wan Karpet juga dalam perancangan dan kemungkinan dapat diturunkan pada perlawanan ini,” katanya.

Menurutnya, bahagian tengah dan pertahanan akan menyaksikan beberapa perubahan selepas pemain tengah Sandro Da Silva tidak dapat beraksi pada perlawanan itu kerana menjalani penggantungan satu perlawanan akibat mengumpul tiga kad kuning.

“Namun pada perlawanan di Stadium Hang Jebat kali ini, saya yakin pemain gantian yang dipilih menggantikan Sandro nanti mampu menggalas cabaran dengan komitmen tinggi di samping meningkatkan koordinasi pada tahap yang diharapkan.

“Selepas kekalahan 2-3 pada saingan Liga Super ketika menentang Perak FA pada 1 Julai lalu, pemain sudah bertekad tidak mahu mensia-siakan tiga mata untuk dibawa pulang ke Kedah.

“Kami sudah melihat beberapa kelemahan di benteng pertahanan yang mana kami perlu mengelak melakukan kesilapan dan kelekaan seperti dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, selain Anderson, penyerang utama Ken Ilso, pemain senior Baddrol Bakhtiar dan pertahanan Rizal Ghazali yang sudah pulih daripada kecederaan diharap akan mengukuhkan lagi aksi mereka.

“Cuma kami perlu awasi kebangkitan Melaka United yang kini semakin bermotivasi selepas mempamerkan kecemerlangan di laman sendiri Sabtu lalu dengan menewaskan Kelantan 3-0 walaupun sebelum ini, Kedah mencatat kejayaan 2-0 ke atas Melaka pada 4 Julai lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:46 AM