AKRAM  (kanan)  melepasi kawalan pemain Melaka United  di Stadium Hang Jebat, kelmarin.
AKRAM (kanan) melepasi kawalan pemain Melaka United di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Melaka: “Aksi Melaka United amat memberangsangkan malah mereka menekan pasukan kami sepanjang 45 minit pertama,” kata jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adha Yusof ketika mengulas pertemuan Melaka-Kedah di Stadium Hang Jebat, kelmarin.

Menurutnya, jika tidak kerana komitmen tinggi pemainnya yang bangkit memberi saingan selepas dua kali ketinggalan di babak pertama, sudah tentu tuan rumah akan terus mendominasi perlawanan.

Katanya, dia lega selepas Baddrol Bakhtiar berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada babak pertama dan jaringan itu membuatkan anak buahnya kembali beraksi pada tahap sebenar di separuh masa kedua.

“Saya mengingatkan pemain supaya bangkit mengikut perancangan dan tidak membiarkan tuan rumah terus menguasai perlawanan. Pemain mengikut arahan dan kami berjaya menambah dua lagi gol melalui Akram Mahinan dan Asri Mardzuki,” katanya.

Nidzam berkata, apa yang merunsingkan ketika ini ialah mereka bakal kehilangan tujuh pemain utama pada perlawanan menentang Selangor di Alor Setar Sabtu ini selepas enam daripada mereka menyertai skuad bawah 22 tahun kebangsaan manakala Akram tidak dapat diturunkan gara-gara mengumpul enam kad kuning.

Beliau berkata, ketiadaan Shafiq Ahmad, Amirul Hisham Awang Kecik, Ifwat Akmal Che Kassim dan Arif Farhan Md Isa memaksa mereka untuk menggantung harapan kepada pemain Piala Presiden bagi perlawanan terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 10:59 AM