AKHYAR (kiri) lupakan aksi Liga Super kerana bersama skuad Piala AFF B-19 tahun negara. -Foto fail
AKHYAR (kiri) lupakan aksi Liga Super kerana bersama skuad Piala AFF B-19 tahun negara. -Foto fail
Izzali Ismail


KEDAH bakal kehilangan sentuhan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid dalam aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, 10 Julai ini.

Akhyar yang diberi jolokan ‘Neymar Kedah’ oleh penyokong terpaksa dilupakan seketika lantaran khidmatnya diperlukan dalam skuad negara yang sedang beraksi dalam kejohanan Piala AFF Bawah 19 di Indonesia sejak 1 Julai lalu.

Menurut ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, ketiadaan Akhyar sedikit mengusarkan pasukannya, namun persiapan pasukan dalam tempoh masa yang cukup memberi kelegaan buatnya dalam usaha melebarkan kemenangan seterusnya.

“Ketiadaan Akhyar memaksa saya melakukan sedikit perubahan namun tidak menggusarkan perancangan bertemu Melaka di mana kita memburu tiga mata di sana.”

“Walaupun sebilangan pemain Kedah terlibat dalam skuad kebangsaan termasuk skuad

senior, saya yakin dengan tempoh latihan sedang berlangsung kini mampu meningkatkan keupayaan pasukan dalam cabaran seterusnya.”

“Beberapa pemain mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi menentang PKNS sebelum ini seperti pemain import Sandro Da Silva , Halim Saari dan Asri Mardzuki dijangka dalam proses pemulihan dan saya yakin mereka dapat beraksi menentang Melaka kali ini.”

Ditanya pengganti sesuai menggantikan Akhyar, Nidzam berkata, beliau masih belum memutuskan pemain lain di posisi berkenaan memandangkan Kedah mempunyai beberapa pilihan berpotensi dan mampu beraksi dengan baik di posisi berkenaan.

“Saya masih menilai dan mempertimbangkan gandingan pemain serta strategi terbaik perlawanan untuk kita turun apabila berkunjung ke Melaka nanti.”

“Kekalahan 0-2 kepada Melaka pada 1 Jun lalu menjadi panduan terbaik untuk Kedah lebih waspada dan bersedia dalam usaha memastikan tidak lagi keciciran mata untuk Kedah mengekalkan persaingan sengit pada kelompok teratas Liga Super.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 2:04 PM