PEMAIN Kedah Syazwan Tajudin (kiri) menghalang kemaraan penyerang Melaka United Marco Simic di Stadium Hang Jebat, minggu lalu.
PEMAIN Kedah Syazwan Tajudin (kiri) menghalang kemaraan penyerang Melaka United Marco Simic di Stadium Hang Jebat, minggu lalu.
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff tetap yakin dengan kemampuan pemain mudanya menjelang pertemuan aksi Piala Malaysia Kumpulan C menentang UiTM FC di Stadium Darul Aman, malam ini.

Nidzam berkata, keyakinan beliau itu kerana pemain muda semakin mempamerkan peningkatan dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan kemampuan mereka sudah dibuktikan.

Menurutnya, aksi Amirul Hisyam Awang Kechik, Syawal Nordin, Syafiq Ahmad, Ariff Farhan Md Isa dan Ifwat Akmal Che Kassim semakin meningkat dan yakin kemampuan mereka dan tanggungjawab yang mereka laksanakan akan terus memberi manfaat kepada Helang Merah.

“Namun, dalam aksi bertemu Melaka United Sabtu lalu, tiga pemain muda iaitu Syafiq, Ariff dan Ifwat tidak diturunkan kerana kecederaan dan kini mereka masih belum lagi pulih 100 peratus.

“Status tiga pemain yang masih cedera ini belum dapat diketahui sama ada mereka boleh beraksi atau tidak, saya akan lihat dulu perkembangan semasa mereka,” katanya.

Beliau berkata, bagi aksi bertemu UiTM FC, Amirul dijangka kembali dan Syawal yang diturunkan dalam perlawanan lalu juga kemungkinan beraksi.

Ditanya mengenai seorang lagi pemain muda yang semakin menonjol, Akhyar Rashid, Nidzam berkata, pemain berusia 18 tahun itu berjaya mempamerkan ketajaman dalam perlawanan bertemu Melaka United Sabtu lalu dengan menghasilkan gol keenam Kedah.

“Dia nampak begitu yakin dan selesa selain berjaya menunjukkan komitmen tinggi sepanjang aksi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 10:28 AM