AKSI penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim mengawal gawang.
AKSI penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim mengawal gawang.

Alor Setar: Biarpun kecundang di Stadium Darul Aman, ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff tetap memuji pemainnya selepas tewas 2-3 di tangan Perak di sebalik kehilangan beberapa tonggak.

Ia kerana anak buahnya bangkit pada babak kedua untuk merapatkan jurang hasil jaringan pemain tengah Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi.

Justeru katanya, walaupun kecewa gagal mengutip walau satu mata di gelanggang sendiri, beliau mahu pemain Lang Merah bangkit untuk menebus kekalahan pada perlawanan akan datang.

“Walaupun Kedah ketinggalan pada babak pertama, namun pada masa itu saya yakin kami mampu bangkit kembali di babak kedua.

“Kami juga pernah ketinggalan dalam beberapa perlawanan lalu tapi kali ini kami gagal bangkit dan menyaingi.

“Namun, saya tetap puas hati kerana pemain gantian yang masuk beraksi iaitu Amirul Hisyam, Ariff Farhan dan Akhyar Rashid menunjukkan usaha yang positif,” katanya.

Menurut Nidzam, keseluruhan perlawanan Liga Super kelmarin, kelemahan di bahagian pertahanan begitu ketara dan punca Kedah dibolosi tiga kali kepada skuad Bos Gaurus.

“Kami tidak sepatutnya lalai dan melepaskan tiga gol itu dan kekalahan pertama di tempat sendiri ini pastinya perlu direnungi agar kesilapan benteng seperti ini dapat atasi dengan segera walaupun tanpa pemain utama seperti Zac Anderson, Rizal Ghazali dan kapten Kharul Helmi Johari yang tidak dapat bermain penuh.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 8:52 AM