Melaka: Isu pergeseran antara Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dan bekas jurulatih Eric Williams (gambar) berkaitan kontraknya bersama Melaka United hampir selesai.

Timbalan Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, beliau menyambut baik hasrat Williams menerima syarat ditetapkan badan bola sepak kelab itu bagi penyelesaian berkaitan baki kontraknya walaupun sebelum ini mahu membawa isu berkenaan ke Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya, MUSA memberi pilihan sama ada membimbing skuad Piala Emas Raja-Raja dan Piala Presiden atau tawaran tiga bulan gaji selepas khidmatnya tidak disambung berikutan prestasi hambar skuad terbabit dalam Liga Super.

Pergolakan terbabit menyaksikan Melaka bersedia menerima tindakan Williams yang mahu mengheret isu berkenaan ke FIFA berdasarkan tidak melakukan pelanggaran perjanjian.

Katanya, sebagai majikan, MUSA sudah menghantar surat rasmi mengenai tawaran itu sebagai pilihan buat bekas pembimbing Yangon United terbabit memberi jawapan sebelum Aidilfitri.

“Hari ini kami menerima khidmat aplikasi WhatsApp beliau kepada pegawai MUSA yang menyatakan persetujuan menerima tawaran tiga bulan gaji sekali gus menolak pilihan melatih skuad Piala Emas mahupun Piala Presiden.

“Williams juga mahukan bayaran berkenaan dalam bentuk wang tunai dolar Amerika Syarikat serta tiket penerbangan sehala ke Australia,” katanya.

Yusoff berkata, pada dasarnya MUSA sedia memenuhi permintaan itu dan cuma menunggu Williams menandatangani persetujuan terbabit.

Beliau mengulangi pendirian tidak melanggar kontrak selepas MUSA menggantikannya dengan jurulatih baru Eduardo Almeida dari Portugal walaupun kontrak Williams masih ada sehingga Disember ini.

Menurut Yusoff, beliau gembira kemelut itu diselesaikan secara baik sekali gus memastikan pergeseran berkenaan diselesaikan dalam tempoh singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 5:07 AM