IDRIS (tengah) peraga jersi Warrix yang bakal digunakan MU musim depan. -Foto NAZRI ABU BAKAR
IDRIS (tengah) peraga jersi Warrix yang bakal digunakan MU musim depan. -Foto NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


SYARIKAT pengeluar barangan sukan jenama Warrix dari Thailand bersetuju menjadi penaja utama jersi skuad Melaka United untuk tempoh dua tahun mulai musim 2018.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan disempurnakan di Bandaraya Melaka yang diwakili Pengarah Urusan Warrix Malaysia, George Vui bersama Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden MUSA, Datuk Seri Idris Haron dan perjanjian itu ditandatangani sempena Kongres ke-62 MUSA di Ayer Keroh.

Setiausaha Agung MUSA, Nor Azman Rahman berkata, Warrix setuju menaja jersi Melaka bagi musim 2018 dan 2019 selepas tertarik dengan perkembangan pasukan berkenaan.

Katanya, banyak syarikat yang mahu menaja pasukan Hang Tuah namun tawaran yang dikemukakan Warrix mendorong MUSA untuk bekerjasama dengan pengeluar jenama terbabit.

“Warrix bakal menampilkan jersi baru dengan imej yang lebih menarik termasuk jersi yang akan digunakan Melaka ketika aksi di gelanggang sendiri, tempat lawan dan jersi ketiga.

“Majlis pelancaran jersi berkenaan akan diadakan bulan depan bersama pengenalan barisan kejurulatihan dan pemain skuad Hijau Putih,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, sasaran sekurang-kurangnya menjulang satu piala sepanjang 2018 diharap mampu direalisasikan skuad pimpinan jurulatih, Eduardo Almeida.

Beliau berkata, jika diberi pilihan beliau pasti mahu Melaka menjuarai Liga Super walaupun berdepan cabaran getir semua pasukan terutama Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan pasukan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 6:44 PM