Melaka: Bekas kapten Melaka United, Ilija Spasojevic (gambar) ditawarkan pampasan tiga bulan gaji bagi peleraian kontraknya selepas khidmatnya tidak disambung sempena jendela perpindahan pemain Liga Malaysia, baru- baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi berkata, tawaran itu sudah dimaklumkan kepadanya namun hingga kini persatuan masih belum menerima jawapan daripada penyerang kelahiran Montenegro itu.

Menurutnya, ia menyamai tawaran kepada bekas ketua jurulatih Eric Williams yang khidmatnya juga tidak disambung bagi memberi laluan kepada pengendali baru dari Portugal, Eduardo Almeida.

Spasojevic hampir meneruskan sentuhannya bersama skuad Hang Tuah namun kehadiran bekas penyerang Negeri Sembilan, Marko Simic kira-kira 24 jam sebelum jendela perpindahan ditutup menyebabkan khidmat bekas pemain Persib Bandung, Indonesia itu tidak diteruskan.

“Jika Spasojevic menerima tawaran itu kontraknya bersama Melaka yang berakhir Disember ini akan terlerai lebih awal.

“Bagaimanapun, jika dia tidak menerima bermakna dia kekal berlatih bersama skuad kami walaupun tidak beraksi. Ia kerana dia tertakluk kepada MUSA yang juga majikannya.

“Alternatif lain dia diminta memberi tunjuk ajar kepada skuad Piala Presiden atau Piala Belia Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:01 AM