HARBUZI (kiri) antara bekas pemain MU yang membuat aduan kepada FIFA. FOTO/FAIL
HARBUZI (kiri) antara bekas pemain MU yang membuat aduan kepada FIFA. FOTO/FAIL
Aziman Rosdi


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) menafikan mereka gagal menyelesaikan bayaran gaji pemain sehingga dua bekas pemain import, Labinot Harbuzi dan Omid Nazari membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Yusoff Mahadi berkata, dua kes itu bagaimanapun hanya membabitkan tuntutan pembayaran bonus dan bayaran pampasan selepas kontrak pemain ditamatkan awal.

“Kami tidak ada masalah membayar gaji, setiap tahun gaji pemain Melaka United dibayar tanpa ada sebarang tunggakan setakat ini. Namun, saya mengakui Melaka United mempunyai dua kes dengan FIFA tapi ia bukan membabitkan tunggakan bayaran gaji.

“Labinot membawa kes itu kepada FIFA berhubung bayaran bonus manakala Omid pula tidak berpuas hati dengan bayaran pampasan apabila kontraknya ditamatkan sebelum musim bermula. Kami tamatkan kontraknya lebih awal kerana prestasinya tidak seperti yang diharapkan.

OMID  tidak berpuas hati dengan bayaran pampasan. FOTO/FAIL
OMID tidak berpuas hati dengan bayaran pampasan. FOTO/FAIL

“Di sini bukan masalah kita tak bayar, tapi pemain tidak berpuas hati dengan bayaran yang dibuat dan bila timbulnya isu seperti ini, pastinya akan dibawa ke pengetahuan FIFA.

Jadi, FIFA yang akan buat keputusan. Jika FIFA membuat keputusan kami bersalah dan perlu membayar tuntutan itu, kami tak ada masalah bayar semula,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Melaka United antara empat pasukan Liga Super selain PKNS FC, Kelantan dan Perak yang berkemungkinan berdepan tindakan FIFA apabila terbabit dengan kes tunggakan pembayaran gaji yang kini dibawa ke pengetahuan FIFA.

Dua lagi pasukan Liga Super, Pahang dan PKNP FC masing-masing mempunyai kes sama yang kini sedang diteliti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala pasukan Liga Perdana Kuantan FA, Sarawak, Pulau Pinang, FELCRA FC serta dua pasukan Piala FAM, ATM dan Perlis juga tidak terkecuali.

Menurut Yusoff, pihaknya sentiasa menitikberatkan soal kebajikan pemain terutama gaji, namun segala bayaran adalah mengikut kontrak yang dipersetujui.

“Kita tak pernah ada kes bila sudah sampai bulan Disember. Soal gaji pemain adalah keutamaan pihak pengurusan kerana itu kami berbelanja mengikut kemampuan kewangan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 6:22 PM