AKSI kelam-kabut di hadapan pintu gol Melaka pada perlawanan malam kelmarin. FOTO Khairunisah Lokman
AKSI kelam-kabut di hadapan pintu gol Melaka pada perlawanan malam kelmarin. FOTO Khairunisah Lokman
Nazri Abu Bakar


DI sebalik keceriaan layak ke suku akhir Piala Malaysia, skuad Melaka United sebenarnya dibelenggu masalah besar apabila masing-masing sudah tidak menerima gaji sejak dua bulan lalu.

Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan Melaka United tampil mengaku bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.

Pengurus Melaka, Mohd Yusoff Mahadi berkata, beliau berharap kejayaan layak ke suku akhir Piala Malaysia akan membuatkan penaja menyuntik dana seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Menurutnya, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini juga sudah menyatakan kesediaan penaja untuk melunaskan janji mereka dan justeru, ia diharap bakal menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.

Katanya, kesungguhan pemain untuk beraksi pada tahap terbaik ketika berdepan PDRM di Stadium Hang Jebat, kelmarin cukup membanggakan.

“MUSA sedang berusaha untuk melunaskan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain. Mereka (pemain) sudah mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan layak ke suku akhir dan kami harap penaja akan membuktikan komitmen mereka pula,” katanya.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji kepada pemain Melaka hangat diperkatakan di media sosial dan ia mendapat pelbagai reaksi peminat setia Hang Tuah yang mahu MUSA mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah terbabit.

Yusoff berkata, masalah tunggakan gaji sememangnya berlaku sejak awal musim namun persatuan sentiasa berusaha menyelesaikannya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MUSA mengharapkan ia dapat diselesaikan segera apatah lagi mereka akan bertemu Pahang, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:00 AM