Nazri Abu Bakar


Melaka: “Beliau bebas untuk berkata apa saja,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi ketika diminta mengulas kenyataan bekas jurulatih Melaka United Eric Williams (gambar) terhadap persatuan berkenaan.

Menurutnya, isu yang menyaksikan MUSA dijadikan sasaran luahan tidak puas hati Williams hanya berdasarkan pandangan peribadi jurulatih berkenaan sedangkan tindakan diambil pengurusan adalah untuk kebaikan pasukan.

Katanya, peratus kegagalan pasukan lebih tinggi jika MUSA tidak melakukan perubahan.

Yusoff menganggap apa yang diperkatakan Williams tidak akan memberi ancaman besar buat badan induk itu.

“Kami sudah memberi peluang tujuh bulan yang dikira mencukupi kepada beliau. Keputusan yang kami lakukan itu antara proses meningkatkan keupayaan pasukan. Sudah pasti semua majikan tidak mahu pasukannya gagal.

“Jika gagal, MUSA pasti dipersalahkan. Jika berjaya, jarang pujian dihamburkan kepada badan induk. Berani berubah adalah lebih baik daripada kekal dengan keadaan sama,” katanya.

Baginya, prestasi skuad Hang Tuah yang tidak meyakinkan mendorong tindakan penamatan kontrak jurulatih terbabit dan Williams diberi pilihan sama ada mahu kekal melatih skuad Piala Presiden atau diberi pampasan tiga bulan gaji.

Yusoff mendedahkan sebahagian besar pemain ada bertemu dengannya dan menuntut Williams disingkirkan.

Justeru, fokus MUSA kini terarah untuk memastikan kejayaan pasukan dan tidak mahu melayan perkara remeh ditimbulkan Williams.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 3:32 AM