PERISTIWA hijrah juga mengajar sifat prihatin dan peduli sesama insan.
PERISTIWA hijrah juga mengajar sifat prihatin dan peduli sesama insan.
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Tahun ini, umat Islam sekali lagi berkesempatan menyambut ketibaan Maal Hijrah 1445 hijriah dalam suasana negara Malaysia yang aman dan harmoni. Antara hikmah memperingati permulaan tarikh penting dalam kalendar tahunan umat Islam ini adalah untuk mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW supaya dapat diamalkan dalam kehidupan. Ketibaan tahun baharu hijrah saban waktu harus menjadi medan untuk kita memperbaharui niat, azam dan matlamat agar dapat mencipta lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan. Detik penting tersebut perlu dijadikan peringatan untuk sentiasa memperbaiki diri agar menjadi Muslim yang patuh kepada perintah Allah SWT dan menjadi khalifah yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkanlarangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."

Peristiwa hijrah memberikan pengajaran bahawa gerakan dakwah memerlukan dukungan daripada pelbagai pihak yang mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri seperti dimiliki oleh Ali bin Abu Talib, Saidatina Khadijah, Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan dan ramai lagi. Nabi Muhammad SAW memanfaatkan segala potensi yang ada untuk memulakan hijrah baginda dalam usaha membangunkan negara Islam pertama di Madinah. Selain itu, kegemilangan sesebuah negara dan tamadun juga dibangunkan melalui sinergi kekuatan lapan golongan utama iaitu pemimpin yang bijaksana, keilmuan para ulama, keberanian para syuhada', dedikasi para amilin atau pekerja, dermawan para hartawan, doa para solihin, kehebatan para da'i, dan para wanita solehah yang melahirkan generasi terbaik.

Segenap lapisan masyarakat mesti menghayati sifat-sifat Rasulullah SAW seperti siddiq iaitu benar dalam perkataan dan perbuatan, fatonah iaitu kecerdasan akal dan kebijaksanaan, amanah, dan tabligh iaitu menyampaikan risalah Allah SWT untuk mencapai tahap kemajuan yang sebenar serta kesejahteraan negara. Perkara tersebut selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini yang menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan perkasa dalam mencipta kejayaan. Justeru formula untuk membina negara dengan memanfaatkan segala sumber dan kelebihan yang ada wajar dijadikan teladan demi kemajuan.

Sesuai dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu Perpaduan Teras Malaysia Madani, gagasan tersebut perlu diterjemahkan melalui sifat pengorbanan, persaudaraan dan perpaduan yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah bagi membangunkan sebuah masyarakat yang dapat menghayati nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Umat Islam perlu menjauhi segala tindakan yang boleh mengganggu gugat keharmonian hidup beragama dan bermasyarakat serta menjauhi persengketaan yang memecahbelahkan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali 'Imran ayat 103 bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya."

Di dalam peristiwa hijrah, golongan ansar di Madinah telah menunjukkan sifat yang baik dengan mengutamakan saudara mereka daripada golongan muhajirin lebih daripada diri mereka sendiri dengan memberikan bantuan tanpa sebarang hajat dan muslihat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 9 bermaksud: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Peristiwa hijrah juga mengajar tentang sifat prihatin dan peduli sesama insan. Mengambil pengajaran daripada petunjuk itu, ketika negara kita dilanda sebarang musibah, seluruh rakyat Malaysia mesti terus membudayakan sifat prihatin dan ihsan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi." (Riwayat al-Bukhari). Hadis tersebut menuntut amalan memuliakan, menghormati dan berkasih sayang sesama manusia. Semangat perpaduan dan keharmonian harus kekal dipertahankan sebagai aset penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara bagi mendepani apa jua ujian dan badai kehidupan.

Di Wilayah Persekutuan, Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H akan disambut pada 26 Julai depan. Majlis tersebut diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada individu yang telah banyak menabur bakti dan sumbangan yang signifikan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan ummah khususnya di Wilayah Persekutuan. Anugerah Khas Kategori Pengurusan Masjid diperkenalkan pada tahun ini bagi memberikan penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan dan komitmen para petugas atau penggerak aktiviti dan program pengimarahan masjid sekaligus mempromosikan peranan institusi tersebut sebagai pusat penyatuan dan perpaduan masyarakat. Pengiktirafan tersebut juga diharapkan dapat menjadi motivasi dan inspirasi agar mendorong kita semua menjadi Muslim yang lebih berkualiti.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 6:00 AM