LAKUKAN amalan kebaikan secara berterusan agar dapat membantu perubahan diri ke arah kebaikan.
LAKUKAN amalan kebaikan secara berterusan agar dapat membantu perubahan diri ke arah kebaikan.
Datuk Mohd Ajib Ismail

MAKSIAT adalah perbuatan mengingkari perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap Muslim diingatkan agar menjauhkan diri daripada melakukan pebuatan maksiat kerana ia bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT, tetapi juga memberikan banyak kesan mudarat kepada diri dan kehidupan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Bentuk perbuatan maksiat sentiasa berubah seiring peredaran zaman. Sebahagian perlakuan maksiat seakan-akan dijenamakan semula dengan pelbagai rupa bertujuan mempromosikan sebagai gaya hidup popular dan diterima masyarakat. Segala perbuatan dosa dan maksiat hakikatnya dijelaskan dalam Islam seperti di dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."

Manakala di dalam surah al-Isra' ayat 32 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Dalam era kecanggihan teknologi dan kemodenan masyarakat, sesetengah perbuatan maksiat dijenamakan dengan pelbagai rupa serta dipromosikan dengan pelbagai cara sehingga mengaburi pandangan serta menganggap ia bukan lagi perbuatan dosa. Hanya mereka yang benar-benar menjalani kehidupan berpandukan syariat dapat mengawasi diri daripada terjerumus ke kancah kemaksiatan sehingga akhirnya sukar untuk keluar dari lembah kehinaan tersebut.

Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: 'Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan pelbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka." (Riwayat Ibnu Majah)

Medium melakukan maksiat kini pelbagai. Justeru, dakwah dan pencegahannya mesti dipergiatkan sesuai dengan kapasiti masing-masing sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Tanggungjawab mencegah perbuatan maksiat mestilah dijalankan dalam semua peringkat masyarakat, bermula daripada diri, keluarga, masyarakat hinggalah negara. Seorang suami sebagai ketua keluarga berkewajipan mengajak anak dan isterinya ke arah kebaikan serta menegah mereka daripada melakukan maksiat. Firman Allah SWT di dalam surah At -Tahrim ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala), penjaganya terdiri daripada malaikat yang kasar, keras dan mereka tidak menderhakai Allah, setiap apa yang diperintahkan kepada mereka sudah pasti mereka akan melaksanakannya."

Kita dianjurkan berdoa agar dihindarkan daripada maksiat sebagaimana hadis bermaksud: "Ya Allah ampunkan baginya, bersihkan hatinya (daripada memikirkan sesuatu maksiat) dan peliharalah kemaluannya (daripada melakukan zina)." (Riwayat Ahmad)

Di samping itu, perasaan takut terhadap kemurkaan dan balasan Allah SWT dapat mencegah daripada perbuatan maksiat selain perasaan cinta dan keinginan untuk mendapatkan balasan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nur ayat 63 yang bermaksud: "Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu, sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Kita juga dianjurkan agar melakukan amalan kebaikan secara berterusan agar dapat membantu melakukan perubahan diri ke arah kebaikan. Di dalam hadis riwayat Abu Zar RA Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap perbuatan dosa dengan amal kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan dosa. Bergaullah dengan  manusia dengan akhlak yang baik." (Riwayat al-Tirmizi)

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 114 yang bermaksud: "Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."

Kita harus berganding bahu bagi mencegah perbuatan maksiat dalam masyarakat dengan segala kemampuan yang ada. Laporkan perbuatan mungkar dan maksiat kepada pihak berkuasa agar kita dilindungi daripada kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl, ayat 112 yang bermaksud: "Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur nikmat Allah, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan."

Bagi yang terlanjur melakukan maksiat, peluang untuk bertaubat sentiasa terbuka sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali 'Imran ayat 135 yang bermaksud: "Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedangkan  mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)."

Berusahalah berjihad memerangi hawa nafsu dan sentiasa menyucikan jiwa sebagai mana saranan ayat al-Quran yang bermaksud: "Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa, sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)."  (Surah As-Syams: 7-10)

Manfaatkanlah kemodenan bagi kebaikan kerana ramai orang yang berjaya memperoleh manfaat hasil kemajuan teknologi. Kesempitan hidup bukan asbab kita memilih jalan dosa dan maksiat. Bahkan mereka yang berusaha menjauhi maksiat dijanjikan ganjaran besar di akhirat. Usahlah terpesona dengan fatamorgana keindahan dunia yang sementara sehingga kita tersasar memilih jalan yang tidak diredai Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW di dalam hadis yang bermaksud: "Apa yang sedikit, tetapi mencukupi lebih baik daripada banyak, tetapi melalaikan." (Riwayat Abu Daud)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:00 AM