GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Datuk Mohd Ajib Ismail

Islam menuntut umatnya agar sentiasa menjadi pendamai dalam sebarang situasi kehidupan. Setiap Muslim perlu memainkan peranan di dalam usaha penyatuan sebaliknya mengelakkan diri dari memarakkan api permusuhan sesama insan. Ajaran Islam menuntut manusia untuk mencari ruang kedamaian bukan persengketaan yang memecahbelahkan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketakwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam pepatah Melayu, peringatan agar menjauhkan diri dari sifat permusuhan dan perpecahan digambarkan dalam peribahasa seperti larangan menjadi batu api, api dalam sekam, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan lain-lain lagi. Semua perumpamaan yang diungkapkan dalam peribahasa tersebut adalah perbuatan buruk yang akan membinasakan persaudaraan sesama manusia.

Islam mengingatkan supaya menjauhi fitnah, menghina orang lain dan mengadu domba iaitu memlagakan seseorang atau kumpulan dengan yang lain.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas'ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah aku ceritakan kepada kamu apa itu al'adhhu? Itulah namimah, perbuatan menyebarkan berita untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia." - (Hadis Riwayat Muslim). Sebarang perkhabaran yang tidak benar tentang seseorang atau sesuatu perkara pasti mengundang permusuhan dan perselisihan. Justeru umat Islam mesti berhati-hati ketika menerima berita dengan cara meneliti dan mendapatkan bukti mengenai sesuatu tuduhan atau perkara yang bersangkutan dengan peribadi seseorang. Adab bertabayyun perlu diamalkan agar tidak terjerumus dalam budaya fitnah serta mengelakkan diri daripada mendengar atau membaca berita yang membicarakan keaiban orang lain. Islam amat menitikberatkan agar sentiasa bersangka baik dan cermat sebelum membuat kesimpulan tentang sesuatu perkhabaran. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Allah SWT melarang berprasangka buruk terhadap saudara Muslim yang lain. Sifat berprasangka buruk akan mengheret kita kepada tabiat mengumpat dan mencerca. Firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."

Di dalam masyarakat, perbezaan pandangan, sikap dan pendekatan adalah perkara lumrah dalam kehidupan. Walaubagaimanapun adab dan akhlak mestilah sentiasa dipelihara di dalam menyantuni perbezaan tersebut. Perbezaan tidak semestinya menjadi sebab untuk saling membenci sehingga mendedahkan keaiban masing-masing. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." Di dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Jauhilah sifat taasub dan tanamkan sikap keterbukaan dalam menerima teguran atas nama kebenaran melalui keterangan serta pembuktian. Taasub atau fanatik iaitu pegangan dan keyakinan yang keterlaluan kepada sesuatu kelompok dan individu mengakibatkan seseorang sukar menerima pandangan lain yang bertentangan walaupun pandangan tersebut mungkin lebih tepat dan benar. Golongan yang taasub akan sentiasa memikirkan helah untuk mempertahankan diri dan menang dalam setiap perselisihan dengan kumpulan yang tidak sependapat dengannya sehingga mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Rasa hormat dan kagum dengan kebaikan dan keilmuan individu atau kumpulan tidak ditegah oleh syarak namun bukanlah keterlaluan sehingga menyangka diri atau kumpulannya sahaja yang betul dan menutupi kebenaran.

Pada zaman kini, masyarakat lebih banyak berinteraksi di alam maya dan terdedah dengan pelbagai berita dan maklumat. Penerimaan berita tersebut sekiranya tidak dipandu dengan asas ilmu yang betul akan menjerumuskan masyarakat kepada budaya fitnah yang berleluasa sehingga melabelkan seseorang atau kumpulan dengan pelbagai tuduhan. Kebebasan memberikan pandangan di ruang maya juga kadangkala mempertajamkan perselisihan sehingga membawa kepada keretakan hubungan persaudaraan Islam. Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: "Janganlah sesekali timbulnya perselisihan dan pertikaian dalam kalangan kamu, kerana yang demikian itu akan menyebabkan hati menjadi gentar, mengalami kegagalan dan hilangnya kekuatan sehingga akhirnya kamu senang dikalahkan oleh pihak musuh."

Ketika menghadapi pelbagai situasi dalam kehidupan, kembalikanlah niat untuk mengutamakan kepentingan ummah dan keredaan Allah dalam setiap amalan yang dilakukan. Hanya dengan sifat toleransi, berkasih sayang dan menjauhi perselisihan, agenda membela kebajikan ummah dapat dijayakan. Firman Allah dalam surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dia (orang-orang beriman), adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka: kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka (yang disebut) dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu menjadi besarlah dia, dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir, (dengan kekuatan orang-orang beriman). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka, ampunan dan pahala yang besar."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:00 AM