UMAT islam dituntut untuk berikhtiar mengeluarkan diri daripada sebarang kesulitan yang dihadapi serta tidak berpeluk tubuh.
UMAT islam dituntut untuk berikhtiar mengeluarkan diri daripada sebarang kesulitan yang dihadapi serta tidak berpeluk tubuh.
Datuk Mohd Ajib Ismail

PELBAGAI masalah dan tekanan yang dialami dalam kehidupan boleh meninggalkan kesan yang besar terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi insan. Tekanan yang tidak terkawal dan gagal diruskan berpotensi mengakibatkan penyakit mental iaitu gangguan kesihatan yang melibatkan perubahan pada pemikiran, emosi atau tingkah laku kesan daripada kesukaran untuk menanggung tekanan dalam rutin kehidupan. Lebih parah lagi, sekiranya gangguan mental tidak diberikan perhatian yang sewajarnya akan mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain sehingga melibatkan kehilangan nyawa. Dalam situasi di tempat kerja misalnya, isu kesihatan mental yang tidak ditangani secara berhikmah boleh memberikan impak yang besar terhadap produktiviti organisasi. Masalah kesihatan mental di Malaysia menunjukkan trend peningkatan berdasarkan statistik individu yang mendapatkan sokongan bertambah lima kali ganda bagi 2022 berbanding 2020 menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hakikatnya di dalam ajaran Islam, walau apa pun badai dan tekanan yang melanda, pasti ada jalan penyelesaian terhadap situasi tersebut agar dapat melangkah ke hadapan meneruskan perjalanan kehidupan. Allah SWT meneguhkan hati dan jiwa orang yang beriman dengan suatu jaminan melalui firman-Nya di dalam al-Quran surah al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." Di dalam ayat yang lain iaitu surah al-Talaq ayat 2 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya)." 

Justeru terdapat empat pesanan utama untuk seseorang melangkah keluar daripada permasalahan agar tidak dibelenggu dengan tekanan berpanjangan dalam kehidupan iaitu melalui sifat sabar, ikhtiar, doa dan tawakal. Pertama, sabar mungkin merupakan perkataan yang mudah diungkapkan tetapi sukar untuk dihayati dan diamalkan melainkan dengan keimanan. Sabar secara mudahnya difahami dengan maksud menahan diri. Tatkala seseorang merasakan kemuncak masalah, tekanan atau kesakitan, satu-satunya kunci kepada ketenangan dan kesejahteraan mental dan fizikal adalah melalui sifat sabar. Keutamaan sifat sabar dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Seorang Muslim harus memiliki kepercayaan bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan kepada orang yang bersabar serta dimuliakan kedudukannya di sisi Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."

Pesanan yang kedua adalah dengan melaksanakan ikhtiar dan usaha. Umat Islam dituntut untuk berikhtiar mengeluarkan diri daripada sebarang kesulitan yang dihadapi serta tidak berpeluk tubuh dan membiarkan diri dan orang lain menderita tanpa sebarang usaha untuk menyembuhkan kesakitan atau menyelesaikan masalah. Dalam konteks tekanan yang dialami, berusahalah mendapatkan pertolongan daripada pihak yang boleh membantu meringankan bebanan yang ditanggung. Golongan yang mendepani permasalahan dengan usaha dan ikhtiar setidak-tidaknya dapat menuai hasilnya sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." Rasulullah SAW menyarankan agar berusaha dan berikhtiar walaupun dalam situasi getir sebagaimana hadis yang bermaksud: "Jika terjadi Hari Kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah." (Riwayat Ahmad)

Pesanan yang ketiga adalah menjadikan doa sebagai senjata utama yang mampu mengubah takdir dan ketentuan bersandarkan hukum asbab dan musabab. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidak ditolak satu-satu takdir ketentuan melainkan dengan doa." (Riwayat al-Tirmizi). Allah SWT menganjurkan kepada hamba-hamba-Nya untuk berdoa serta menjamin akan memperkenankan permintaan tersebut sebagaimana firman-Nya dalam surah Ghafir ayat 60 yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." Nabi Muhammad SAW mengajarkan cara agar berdoa dengan perasaan rendah hati, tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Tidak mustahil bagi Allah SWT untuk menghilangkan kesukaran yang dihadapi sepertimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-An'am ayat 41 bermaksud: "Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu)."

Perkara penting yang perlu dilakukan setelah semua pesanan tersebut diamalkan adalah bertawakal kepada Allah SWT dalam segenap urusan. Jika seseorang benar-benar bertawakal, maka Allah akan mencukupkan, memberikan pertolongan dan jalan keluar sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran surah al-Talaq ayat 3 bermaksud: "Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." Ulama menjelaskan tawakal hendaklah dilakukan seiring dengan pelbagai usaha yang mendatangkan hasil. Rasulullah SAW pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta maksudnya: "Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Hibban). Baginda SAW memerintahkan untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan sesuatu urusan kepada Allah SWT.

Setelah bersabar, berdoa, berikhtiar dan bertawakal, maka tanggungjawab penting sebagai seorang Muslim adalah untuk menghayati hikmah di sebalik ketentuan Allah SWT walaupun kadangkala tidak sebagaimana yang diinginkan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Kemuncak darjat keimanan seseorang insan akan dapat dicapai melalui penghayatan terhadap kalimah motivasi yang mendorong semangat dan keyakinan untuk meneruskan kehidupan sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 139 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 5:59 AM