ORANG Mukmin yang berjaya beristiqamah dalam melaksanakan ibadah telah merasai kemanisan iman.
ORANG Mukmin yang berjaya beristiqamah dalam melaksanakan ibadah telah merasai kemanisan iman.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya agar beristiqamah dalam melaksanakan segala perintah-Nya sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran surah Hud ayat 112 yang bermaksud: "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang sedikit tetapi istiqamah dan berterusan. Perkara tersebut berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah RA yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian berasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam situasi kehidupan yang penuh mencabar, antara perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan ialah beristiqamah dalam mengerjakan ibadah kerana pelbagai sebab dan alasan. 

Boleh jadi disebabkan alasan kesibukan dan kekangan tugas, keuzuran, dan godaan hawa nafsu yang tidak dapat dikawal. Selain itu, pelbagai bentuk dan medium baharu hiburan dan aplikasi media sosial yang mudah diakses di hujung jari juga kadangkala boleh menjadi sebab yang melalaikan daripada mengerjakan ibadah. Bahkan sebahagian orang gagal meneruskan kerajinan beribadah dalam bulan Ramadan pada bulan-bulan yang lain, begitu juga gagal meneruskan kesungguhan dalam beribadah sebaik sahaja pulang ke tanah air daripada menunaikan haji dan umrah.

Istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan perintah Allah adalah suatu tuntutan sebagaimana firman-Nya dalam surah Yunus ayat 89 yang bermaksud: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah-Ku seterusnya) dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku)." 

Oleh itu, umat Islam haruslah berusaha untuk mendapatkan istiqamah dalam beribadah dengan menjadikan solat sebagai teras. Firman Allah dalam surah Hud ayat 114 yang bermaksud: "Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."

Bagi mendapatkan istiqamah dalam beribadah, ia hendaklah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT bukan kerana paksaan. Ibadah juga tidak hanya dilaksanakan kerana musim dan ganjaran tertentu, apatah lagi bagi mendapatkan pujian manusia.  

Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar."

Istiqamah juga boleh diperoleh melalui persekitaran yang dapat mendorong kita melaksanakan sesuatu amal ibadah. Ia termasuklah rakan dan ahli keluarga yang saling mengingatkan serta kediaman, tempat kerja atau masjid dan surau yang selesa untuk melaksanakan ibadah. 

Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan baju anda berlubang atau mendapat bau yang busuk." (Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud: "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Sifat sabar juga penting dalam melaksanakan sesuatu ibadah.  

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."

Selain itu, setiap Muslim haruslah memahami dan menghayati segala hikmah yang terkandung di sebalik sesuatu ibadah yang dilaksanakan. Amal ibadah bukanlah suatu perbuatan yang sia-sia dan memenatkan sebaliknya mengandungi pelbagai manfaat dan kelebihan dari segi rohani dan jasmani. Ibadah solat misalnya dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar, amalan berpuasa dapat menjadi perisai daripada melakukan maksiat, ibadah berzakat boleh menyucikan harta dan jiwa, dan ibadah haji dapat mendidik jiwa bagi menginsafi kedudukan diri yang kerdil di sisi Allah SWT. 

Melaksanakan ibadah secara bersama seperti solat berjemaah dan berbuka puasa beramai-ramai juga dapat memberikan motivasi dan semangat antara satu sama lain berbanding melaksanakannya secara bersendirian.

Istiqamah juga boleh diperoleh dengan cara memperingati nikmat dan balasan bagi golongan yang melaksanakan dan meninggalkan perintah Allah sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: 'Tuhan kami ialah Allah' kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): 'Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.'" 

Orang Mukmin yang berjaya beristiqamah dalam melaksanakan ibadah telah merasai kemanisan iman sebagaimana maksud hadis: Daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka." (Riwayat al-Bukhari)

Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar diperteguhkan hati dan dikurniakan sifat istiqamah dalam beribadah dengan mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Mu'az bin Jabal yang bermaksud: "Aku wasiatkan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau tinggalkan di setiap akhir solat untuk mengucapkan: 'Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah sebaiknya kepada-Mu." (Riwayat Abu Daud)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuaan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 5:59 AM