BEBERAPA garis panduan mestilah dipatuhi bagi memastikan pembangunan video dan pendapatan diperoleh daripadanya halal mengikut hukum syarak.
BEBERAPA garis panduan mestilah dipatuhi bagi memastikan pembangunan video dan pendapatan diperoleh daripadanya halal mengikut hukum syarak.
Dr Ahmad Sanusi Azmi

ERA moden ini menyaksikan norma kehidupan manusia berubah. Perkembangan ini termasuk dalam urusan mencari pendapatan. Sebahagian anak muda menceburkan diri dalam beberapa platform media sosial bagi meraih pendapatan.

Ada dalam kalangan mereka yang membangunkan kandungan video yang menyentuh wacana yang berkualiti, tidak kurang juga yang memaparkan aksi tidak berfaedah malah terdapat juga ruang menceburkan diri ke lembah dosa seperti menghasilkan bahan berunsur maksiat.

Fahami garis panduan syarak

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah meluahkan kebimbangan mengenai kemunculan kelompok manusia yang tidak akan menghiraukan sumber pendapatan mereka. Kelahiran golongan ini amat membimbangkan kerana Islam sangat menitikberatkan halal dan haram.

Sabda Rasulullah SAW: "Akan datang satu zaman apabila manusia sudah tidak mempedulikan dari mana datangnya sumber (rezeki) mereka, apakah daripada yang halal atau haram." Hadis Riwayat al-Bukhari

Islam secara umumnya tidak melarang Muslim mengusahakan sesuatu bagi menjana pendapatan selagi ia tidak bertentangan dengan garis panduan syarak. Perkara ini penting bagi memastikan sumber pendapatan yang diperoleh halal dan bersih.

Kandungan mesti bebas unsur dosa

Sebagai asas, penyedia inti pati kandungan YouTube sewajarnya menjadikan syariat sebagai panduan dalam merangka penghasilan video yang ingin dipersembahkan.

Ketika proses membangunkan idea, kandungan yang ingin dimasukkan semestinya tidak melibatkan elemen mempunyai unsur bercanggah dengan syarak seperti pendedahan aurat lelaki dan wanita, tidak mempunyai unsur mengghairahkan, tiada penipuan fakta dan penyelewengan maklumat. Allah melarang kita mendapatkan pendapatan daripada sumber yang bertentangan dengan syarak.

Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil." Surah al-Baqarah ayat 188

Ketika menghuraikan pengertian ayat ini, Sheikh Dr Sayyid al-Tantawi menegaskan yang dimaksudkan dengan 'makan harta dengan jalan yang batil' termasuk mencari pendapatan dengan jalan bertentangan panduan syarak.

Etika dan kesusilaan

Dalam mengulas isu penghasilan video YouTube buat tatapan umum, Dr Aiman Abu Umar iaitu Pengarah Hal Ehwal Fatwa, Kementerian Waqaf Mesir menegaskan setiap Muslim yang ingin membangunkan isi kandungannya hendaklah memastikan tiada unsur mencemarkan maruah atau menjaga adab, budaya dan nilai malu.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau setelah ditanya berhubung kewujudan video yang memaparkan aksi aneh seperti di bilik tidur dengan pakaian tidak sesuai bahkan bercanggah dengan garis panduan syarak. Beliau menegaskan penghasilan video yang mendedahkan aksi aneh ini bercanggah dengan saranan Rasulullah yang mementingkan sikap malu. Hilangnya sifat malu pada generasi muda dibimbangi menjadi indikator kerosakan sebuah bangsa. Ini kerana anak muda adalah generasi pelapis yang akan memimpin pada masa hadapan. Atas dasar itu Rasulullah menjelaskan antara ungkapan yang paling popular dalam kalangan ucapan Baginda yang terdahulu ialah: "Sekiranya kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka." Hadis Riwayat al-Bukhari

Hilangnya sifat malu ini boleh menjadi satu petanda akan keruntuhan dan pereputan nilai murni dalam kalangan anak muda.

Kesimpulan

Secara dasarnya, Islam tidak menghalang seseorang Muslim untuk mencari pendapatan melalui penghasilan video YouTube. Namun, beberapa garis panduan mestilah dipatuhi bagi memastikan pembangunan video itu dan pendapatan yang diperoleh bertepatan panduan ditetapkan syarak.

Penulis Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 5:59 AM