ISLAM menitikberatkan  soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang  ditetapkan syarak.
ISLAM menitikberatkan soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang ditetapkan syarak.
Addin

Islam sememangnya menggalakkan umat Islam untuk kekal sihat menerusi garis panduan syarak. Ia termasuk aktiviti bersukan atau beriadah asalkan mematuhi tetapan yang sudah dibuat terutama tidak bercampur lelaki dan perempuan bukan mahram serta penutupan aurat.

Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang ditentukan oleh syarak.  Hal ini termasuk untuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan selainnya dengan memakai pakaian yang  menutup seluruh auratnya dan longgar  daripada dilihat oleh bukan mahram.  Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.

Etika pakaian sukan dan menutup aurat 

Umum mengetahui batasan aurat lelaki dan perempuan adalah seperti yang dijelaskan oleh BaFadhl al-Hadrami: "Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut." (Rujuk:  al-Muqaddimah al-Hadramiyah  1/76)

Islam menitikberatkan juga soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang sudah ditetapkan. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Imam Nawawi berkata: "Menutup aurat adalah wajib." (Rujuk:  al-Majmuk Syarh al-Muhazzab  3/165)

Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian terbabit dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuk ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan di luar rumah yang terdedah kepada pandangan umum seperti aktiviti berbasikal. Syariat Islam meletakkan garis panduan mengenai cara menutupi aurat yang sempurna seperti pakaian yang berkain tebal yang disebut oleh Imam ash-Syairazi: "Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti baju tebal atau kulit atau daun." (Rujuk:  al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie  1/125)

Selain itu, berpakaian tebal juga tidak mencukupi sekiranya pakaian terbabit bersifat ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai. Allah SWT berfirman: "Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (Surah an-Nur 24:30)

Oleh yang demikian, berdasarkan nas dan pendapat ulama dapat difahami bahawa berpakaian yang menutup aurat itu hendaklah  tebal yang tidak menampakkan warna kulit sesorang  dan  pakaian terbabit bersifat longgar yang tidak menonjolkan bentuk badan si pemakai.

Rasulullah SAW juga ada menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang: "Dan wanita yang berpakaian, tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan."  (Hadis Riwayat Muslim 2128)

Dalam memahami maksud hadis, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni ada menerangkan maksud  dalam hadis  mereka yang berpakaian, tetapi bertelanjang dalam tafsirnya seperti berikut: "Berpakaian namun bertelanjang pada hakikatnya kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembunyikan aurat dan tujuan berpakaian ialah menutupi (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang." (Rujuk:  Tafsir Rawai'ul Bayan  2/385)

Berdasarkan penerangan hadis  di atas, maka sebarang pakaian yang bersifat ketat apatah lagi pakaian yang nipis sehingga tidak menutupi badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanjang. Hal ini demikian kerana ciri-ciri pakaian seperti itu akan mempamerkan bentuk tubuh seseorang yang memakainya. Apatah lagi berpakaian seperti itu ketika bersukan yang memerlukan pergerakan yang boleh menarik perhatian orang kepadanya.

Hukum ini tidak tertumpu kepada wanita sahaja, tetapi juga terlaksana kepada lelaki yang bersukan. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian sukan yang ketat dan nipis sehingga boleh menampakkan bentuk aurat pada tubuh mereka apatah lagi mendedahkan anggota aurat sehingga menarik pandangan wanita ajnabi terhadapnya di persekitaran awam.

Firman Allah SWT: "Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka." (Surah an-Nur 24:31)

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini, orang perempuan yang beriman perlu menundukkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah SWT ke atas mereka untuk melihat selain daripada suami-suami mereka. (Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir  3/283)

Berdasarkan firman Allah SWT di atas jelas bahawa wanita juga perlu menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang membawa kepada fitnah.

Nabi SAW juga bersabda mengenai pandangan wanita terhadap lelaki seperti hadis baginda yang berbunyi: "Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah RA berkata: ketika aku bersama Rasulullah SAW dan disisinya ada Maimunah RA, maka datang Ibnu Ummi Maktum, maka Nabi SAW bersabda: Berhijablah kalian berdua daripadanya dan Kami pun seraya berkata wahai Rasulullah SAW: tidakkah dia buta dan tidak melihat kita dan tidak mengenali kita? Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu berdua buta? Tidakkah kamu berdua dapat melihat dia?"  (Hadis Riwayat Abu Daud 4112)

Hadis di atas dinukilkan oleh Imam Ibnu Kathir sebagai hujah bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak boleh bagi orang perempuan melihat lelaki ajnabi sama ada dengan syahwat mahupun tidak bersyahwat. (Rujuk:  Tafsir Ibnu Kathir 3/283)

Maka dapat difahami bahawa wanita juga perlu menjaga pandangan terhadap lelaki apatah lagi terhadap anggota aurat yang terdedah akibat dari pemakaian yang ketat dan nipis yang diharamkan untuk dilihat. Begitu juga, lelaki perlu menitik beratkan soal berpakaian dan tidak mengambil mudah soal menutup aurat dan berpakaian yang patuh syariah ketika bersukan bagi mengelakkan pandangan wanita terhadap anggota badannya seterusnya menimbulkan fitnah.

Kesimpulannya,  aurat perlu dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak  ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun wanita.  Ia satu kesilapan apabila masyarakat menganggap dengan memakai pakaian yang menutup sebahagian anggota badan atau berpakaian ketat sudah memadai dikira menutup aurat.

Oleh yang demikian, pendapat bahawa pakaian yang patuh syariah ini menghalang pergerakan ketika beriadah dan bersukan dengan alasan rimas, susah bergerak dan tiada pilihan boleh dikatakan alasan yang tidak boleh dikira sebagai darurat dalam Islam kerana menutup aurat adalah wajib bagi semua umat Islam.

Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya sama ada untuk berbasikal atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan oleh agama iaitu memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dari dilihat oleh bukan mahram dan berpakaian longgar supaya tersembunyi bentuk pada badannya dari kelihatan umum.  Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau menampakkan bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 8:01 AM