Hormat-menghormatilah antara satu sama lain meskipun bercanggah pandangan. Sepatutnya setiap perbezaan boleh diurus dengan baik tanpa melibatkan persengketaan yang melampaui batas.
Hormat-menghormatilah antara satu sama lain meskipun bercanggah pandangan. Sepatutnya setiap perbezaan boleh diurus dengan baik tanpa melibatkan persengketaan yang melampaui batas.
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap Muslim adalah bersaudara dan perlu saling menyayangi antara satu sama lain. Namun, ada masanya setiap Muslim mempunyai pandangan tersendiri, saling bercanggah dalam membicarakan beberapa isu. Itu semua adalah lumrah dalam kehidupan. Bak kata peribahasa Melayu, 'sedangkan lidah lagi tergigit', begitulah kiasan yang boleh menggambarkan hubungan sesama Muslim.

Tidak wajar perselisihan sesama umat Islam berpanjangan sehingga akhirnya melemahkan umat. Usah jadikan semua perkara sebagai punca untuk masing-masing bercakaran sesama sendiri. Berpada-pada dalam menyanjung pandangan masing-masing yang tidak sehaluan. Perpecahan dalam semua aspek kehidupan hanya akan menampakkan keburukan umat Islam sendiri.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, janganlah kamu berbantah-bantahan kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu serta sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta golongan yang sabar." (Surah al-Anfal ayat 46)

Berdasarkan situasi semasa, cukuplah politik menjadi medan percanggahan pandangan sesama sendiri. Meskipun ia satu perkara yang normal kerana percanggahan pandangan terhadap perkara berbentuk furuk dalam pengurusan kehidupan bernegara, namun janganlah percanggahan itu berlarutan menyerap masuk dalam perkara lain. Hormat-menghormatilah antara satu sama lain meskipun bercanggah pandangan. Sepatutnya setiap perbezaan boleh diurus dengan baik tanpa melibatkan persengketaan yang melampaui batas.

Inilah perkara yang perlu menjadi ingatan buat pemimpin politik serta pengikut masing-masing yang beragama Islam. Tidak salah berbeza pandangan, tetapi biarlah dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak. Apabila percanggahan isu politik berlarutan, ada orang yang sanggup mendedahkan keaiban peribadi saudara seagamanya atau menabur fitnah sehingga menjatuhkan maruah orang lain. Perkara sebegini dilarang Islam dengan larangan yang amat jelas.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Dalam bab ekonomi pula, umat Islam perlu sedar bahawa kekuatan ekonomi umat pastinya bergantung kepada kuasa membeli setiap orang Islam. Konsep bantu-membantu sesama umat Islam adalah petua terbaik bagi melihat keutuhan ekonomi umat Islam. Sebab itulah dalam perbankan Islam, ada banyak konsep bantu-membantu sesama Muslim kerana sistem ekonomi Islam sentiasa mengutamakan keperluan umat secara bersama.

Dalam sistem perbankan konvensional pula wujud skim bantuan berdasarkan riba. Ini hakikatnya bukan satu bentuk bantuan sebaliknya adalah sistem yang menjerut orang lain yang berada dalam kesusahan. Sebab itu umat Islam disaran memilih sistem perbankan Islam yang kini banyak ditawarkan oleh bank mengikut garis panduan syarak.

Begitu juga dalam konteks muamalat jual dan beli. Tidak perlu ada umat Islam yang memperkecilkan saranan agar pembelian barangan Muslim dijadikan keutamaan kerana cara ini dapat membantu memperkukuhkan ekonomi umat. Jika setiap pengusaha produk Muslim mampu meraih keuntungan hasil pembelian daripada saudara seagama, maka mereka perlu menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat perniagaan kepada pihak berkuasa. Pemerolehan wang zakat kemudian dapat disalurkan kepada golongan Muslim yang memerlukan bantuan tanpa mereka dipinggirkan. Ia boleh dilihat satu bentuk pertautan diatur Islam agar dapat mengerat hubungan sesama umat.

Memang tidak semua barang keperluan dihasilkan oleh golongan Muslim, namun bagi barangan yang dikeluarkan oleh saudara seagama, mengapa tidak diberi sokongan dengan membeli barangan itu? Jika kita tidak mampu melakukan semuanya, usah tinggalkan semuanya. Pada masa yang sama, pihak pengeluar produk Muslim juga mesti berusaha mempertingkatkan mutu produk keluaran mereka agar saudara seagama mendapat barang yang terbaik termasuk harga yang berdaya saing. Inilah konsep tolong-menolong sesama Muslim yang disarankan oleh Islam.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah akan melaksanakan hajatnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Daripada sudut sosial pula, banyak saranan Islam yang membuktikan umatnya perlu mengamalkan kehidupan harmoni. Tidak ada yang saling menyakiti, memusuhi, menganiaya dan seumpamanya kerana hakikatnya umat Islam bersaudara. Suasana harmoni sesama umat Islam ditunjukkan sendiri oleh sahabat Rasulullah SAW yang saling mengasihi antara satu sama lain.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Nabi Muhammad ialah seorang utusan Allah dan orang bersama dengannya bersikap keras serta tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)…" (Surah al-Fath ayat 29)

Golongan sahabat yang hidup bersama Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik tentang hubungan sosial mereka. Kehidupan mereka perlu dicontohi kerana merekalah golongan yang mendapat didikan langsung daripada Rasulullah SAW. Mereka tidak bermusuhan sesama sendiri sebaliknya sanggup berkorban harta, malah nyawa demi menjulang ajaran Islam yang menekankan perihal hubungan baik sesama Muslim.

Keakraban hubungan sesama Muslim tidak bermaksud golongan bukan Islam perlu dimusuhi. Islam juga tidak menyuruh persengketaan dengan golongan itu selagi mereka tidak memusuhi Islam atau berusaha ke arah permusuhan. Sedangkan apabila bukan Islam yang tidak memusuhi Islam perlu diberi layanan yang baik, apatah lagi sekiranya mereka bersama Islam. Inilah antara rahmat Islam yang perlu dipertahankan daripada sebarang bentuk salah faham yang kadangkala bersarang dalam minda orang Islam sendiri.

Hentikanlah persengketaan sesama orang Islam tanpa faedah yang hangat berlangsung dalam media sosial. Perbuatan saling menghina, saling merendahkan kedudukan, saling menyindir dengan sindiran melampau, serta saling mengeluarkan kata-kata tidak sopan semuanya adalah petanda keretakan yang boleh melemahkan hubungan sesama umat Islam. Setiap perkara pasti ada hadnya. Justeru, usah jadikan perbezaan pandangan dalam isu yang masih boleh dibawa berbincang sebagai racun yang melemahkan ukhuwah Islamiah.

Sesungguhnya hubungan antara umat Islam didasari oleh akidah yang utuh. Tidak ada perkara yang boleh merobohkan benteng kekuatan umat Islam kerana akidah Islam merupakan asas utama yang dapat menyelamatkan umat daripada sebarang bentuk kemusnahan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah ali Imran ayat 103)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 7:00 AM