KEMURNIAN akidah umat Islam wajib dipelihara daripada sebarang kesesatan.
KEMURNIAN akidah umat Islam wajib dipelihara daripada sebarang kesesatan.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Bahagian 1

Tajsim adalah fahaman yang mempercayai Allah SAW memiliki anggota badan dan menyerupai makhluk. Bagaimanapun, bagi mereka, anggota badan yang ada pada Allah tidak sama dengan makhluk. Oleh itu sesiapa yang berfahaman seperti ini dikira menganut fahaman Tajsim. Daripada sudut kronologi perkembangannya, fahaman ini sudah merentasi beberapa peringkat.

ada mulanya fahaman ini dikembangkan oleh pendeta Yahudi dan seterusnya diperjuangkan pula oleh paderi Kristian dalam versi yang berbeza. Namun akhirnya fahaman ini turut menjangkiti sekelompok umat Islam yang jahil tentang ilmu akidah dan bahasa Arab.

Mereka turut terpengaruh dengan fahaman Tajsim kerana gagal berinteraksi dengan nas al-Quran dan as-Sunnah secara tepat. Sama ada nas berkenaan mengandungi ketinggian daripada sudut gaya bahasanya mahupun ketinggian sudut maknanya. Golongan yang berpegang dengan fahaman Tajsim dikenali sebagai Mujassimah.

Sungguhpun fahaman Tajsim yang dipegang oleh golongan Mujassimah umat Islam berbeza dengan versi Yahudi atau Tajsim Kristian (iaitu ketuhanan trinity), mereka tetap dikira sebagai kelompok yang sesat kerana mereka memvisualisasikan (mengkhayalkan) zat Allah SWT. Sedangkan Allah SWT Maha Suci daripada sebarang zat, sifat atau perbuatan makhluk termasuk daripada memiliki anggota badan sama ada anggota yang besar mahupun kecil atau mikro.

Kewujudan golongan Mujassimah sentiasa dibanteras ulama Islam sejak zaman-berzaman. Namun terdapat segelintir ulama yang menganut fahaman Tajsim bersembunyi di sebalik mazhab Hambali sehingga mereka bertindak menconteng arang kepada mazhab berkenaan.

Hal ini jelas sebagaimana diterangkan Imam Ibn al-Jauzi al-Hanbali ketika mengkritik golongan Mujassimah yang berselindung di sebalik mazhab Hambali sehingga merosakkan nama baik Imam Ahmad RHM dan ulama Hanabilah yang agung. Ternyata, sebahagian besar ulama Hambali berlepas diri daripada fahaman berkenaan. Ibn al-Jauzi al-Hanbali, 1999, Daf'u Syubah at-Tasybih Bi Akaffi al-Tanzih, hlm 99

Menjelaskan penyelewengan akidah satu kewajipan

Kesesatan sesuatu golongan perlu diperjelaskan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Jika fahaman sesat itu tidak dibendung ia pasti akan mengundang fitnah yang lebih besar terhadap Islam dan umatnya. Adapun sikap menyembunyikan ilmu dan mendiamkan diri daripada membanteras golongan sesat yang semakin berleluasa adalah sikap tercela. Buktinya Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia dan beriman kepada Allah menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar." Surah Ali Imran: 110

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya (kekuasaan). Jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman." Hadis Riwayat Imam Muslim

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menyembunyikan ilmunya seumpama orang menyembunyikan apa diturunkan oleh Allah SWT ke atas Muhammad SAW." Hadis Riwayat Ibn Majah dan At-Thabrani dengan sanad yang daif tetapi maknanya sahih

Berdasarkan dalil di atas, jelas kepada kita bahawa mereka yang tidak menegakkan kebenaran dan mendiamkan diri daripada membanteras suatu kesesatan adalah dikira tidak menegakkan perkara makruf dan tidak juga mencegah kemungkaran. Golongan ini dicela oleh syarak. Ini kerana penyelewengan dalam masalah akidah adalah sebesar-besar kemungkaran yang ada.

Justeru, fahaman Tajsim atas nama apa sekali pun (seperti nama Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid al-Asma' wa as-Sifat dan lain-lain) sama ada dipromosi oleh golongan mana sekalipun perlu dibanteras kerana kesesatannya amat jelas menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak ulama Ahlus-Sunnah Waljamaah sejak zaman Salaf al-Soleh hingga kini.

Pokoknya, al-Quran dan al-Sunnah adalah neraca kebenaran tertinggi terutama dalam masalah yang melibatkan akidah. Kita perlu menjelaskan setiap inci penyelewengan fahaman Tajsim dan aliran pemikiran berasaskan kepada doktrin Tajsim secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan bagi mempertahankan kemurniaan akidah Ahli Sunah Waljamaah. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun atas kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (di kalangan mereka) maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya sesiapa yang terasing maka dia akan terasing dalam neraka." Hadis Riwayat Ibn Majah

Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghimpunkan umat ini (umat Islam) dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (bantuan) Allah itu bersama-sama jamaah. Maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A'zhom (majoriti ulama dan umat Islam)." Hadis Riwayat al-Hakim daripada ad-Dhiya' al-Maqdisi

Saya akan memaparkan bukti jelas tentang asas akidah as-Sawad al-A'zhom (majoriti ulama dan umat Islam) dalam menolak fahaman Tajsim dan kelaziman fahaman Tajsim itu sejak zaman Salafus-Soleh (zaman awal Islam) sehingga kini. Kronologi ini membuktikan kepada kita bahawa as-Sawad al-A'zhom juga dipelopori oleh golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah. Oleh itu, mana-mana pihak yang menentang prinsip akidah Ahli Sunah Waljamaah yang diperjuangkan golongan majoriti ulama maka ia boleh dianggap golongan menyeleweng dalam memahami akidah. Bersambung Khamis depan

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:00 AM