GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Hari ini kita melihat ramai di antara manusia berebut-rebut untuk menjadi pemimpin daripada sekecil-kecil organisasi sehinggalah yang tertinggi. Adakah situasi ini satu fitnah yang menyelubungi manusia?

Tidak dinafikan, zaman ini adalah zaman fitnah. Salah satu fitnah yang dilihat semakin membarah dalam masyarakat adalah fitnah pangkat dan kedudukan. Fitnah pangkat dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.

Fitnah pangkat dan kekuasaan adalah fitnah terdahsyat yang melanda umat Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini pemimpin yang menyesatkan." Hadis Riwayat at-Tirmizi

Hadis ini datang dalam bentuk pengkhususan (takhsis) yang menjurus kepada fitnah yang akan menyebabkan umat Islam tergelincir ke dalamnya. Isyarat itu juga menunjukkan umat Islam yang paling ramai terfitnah dengan kekuasaan.

Fitnah Dajjal adalah terbesar yang akan menyelubungi manusia. Namun, adakah terdapat fitnah lain yang perlu manusia berhati-hati dengannya?

Fitnah Dajjal akan menyelubungi manusia akhir zaman saat ketibaanya nanti. Namun sebelum ketibaan Dajjal, baginda amat bimbang kepada keadaan pemimpin yang banyak menyesatkan orang lain. Perkara ini berdasarkan hadis daripada Abu Zar RA, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: "Ketika aku bersama Nabi SAW pada satu hari ke rumahnya, aku mendengar baginda berkata: Bukan Dajjal yang lebih aku khuatirkan terhadap umatku" Sebelum baginda hendak masuk, aku bertanya: "Apakah yang lebih engkau khuatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu? Baginda menjawab: "Para pemimpin yang menyesatkan orang lain." Hadis Riwayat Ahmad

Hadis ini memberi isyarat tentang satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW iaitu fitnah kekuasaan. Nabi SAW menjelaskan kerisauan baginda tentang fitnah kekuasaan ini melebihi daripada fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan, fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang telah berkembang serta tempohnya adalah lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan meliputi zaman.

Mengapakah manusia mudah tergelincir ke dalam fitnah pangkat, kuasa dan kedudukan?

Antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barangsiapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, barangsiapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah." Hadis Riwayat at-Tirmizi

Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang tetap menghampiri penguasa maka dia akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh daripada Allah." Hadis Riwayat Abu Daud

Gambaran utama dalam hadis ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang dekat kepada mereka atau menjadi orang mengetuk pintu pejabat atau rumah mereka adalah sumber terjadinya fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara seperti membodek, bermanis muka, 'menjilat' mereka akan menjadi barah berbahaya kepada agama Islam. Namun, jika dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia sahaja.

Adakah perbezaan taraf kehidupan menjadi punca kepada fitnah ini?

Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta, dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT turut menyebabkan manusia tergelincir ke dalam fitnah pangkat dan kedudukan yang membinasakan.

Fitnah pangkat dan kedudukan ini antara ujian yang besar menimpa umat Nabi SAW terutama apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi bertujuan memperoleh pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.

Pelantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi ujian yang besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab tersebut atau terleka dengan pangkat yang diperoleh.

Bagaimanakah untuk memastikan seseorang yang memegang amanah dalam bentuk pangkat dan kedudukan terhindar daripada fitnah ini?

Kebiasaan yang berlaku, pada awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat untuk mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: 'Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah bertugas memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya." Hadis Riwayat Muslim

Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah: "Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan." Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.

Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong di belakang ketua atau pemimpin dilantik sebulat suara serta dipersetujui.

Hal itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu." Hadis Riwayat Muslim

Mengapakah manusia memerlukan kepada pemimpin?

Pemimpin ini funginya adalah ketua bagi menunjuk jalan yang benar. Imam adalah ketua dalam solat, jadi imam berfungsi mengetuai solat dengan tertib dan cara yang betul. Oleh itu, keperluan kepada pemimpin ini satu perkara yang sangat utama. Sabda Nabi SAW maksudnya: "Adalah bagi Bani Israel, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai khilafah." Hadis Riwayat al-Bukhari

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: "Bani Israel yang dipimpin oleh nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka".

Sabda baginda Nabi SAW maksudnya: "Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik seorang daripada mereka sebagai pemimpin." Hadis Riwayat Ahmad

Justeru, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi. Namun sekiranya jawatan itu diperoleh dengan meletakkan agama sebagai panduan, bantuan Allah akan menyusuli.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:00 AM