WAN Azizah (dua dari kanan) bersama Nancy (dua dari kiri) dan Dr Hartini (kanan) melihat memorandum kerjasama antara kementerian bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang disampaikan pelajar, Aura Balqis ketika program Town Hall Perlindungan Kanak-Kanak di Era Digital di Universiti HELP, Kuala Lumpur.
WAN Azizah (dua dari kanan) bersama Nancy (dua dari kiri) dan Dr Hartini (kanan) melihat memorandum kerjasama antara kementerian bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang disampaikan pelajar, Aura Balqis ketika program Town Hall Perlindungan Kanak-Kanak di Era Digital di Universiti HELP, Kuala Lumpur.
Lydia Saiful


TOWNHALL Yayasan Chow Kit 'Working Together To Enhance Child Protection' dianjurkan yayasan itu bertujuan melindungi kanak-kanak dan membincangkan hak perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Matlamat utama adalah menyebarkan kesedaran mengenai isu penderaan kanak-kanak dalam talian kepada orang ramai di Malaysia.

Ia menggalakkan perbincangan awam dan berhasrat mencapai matlamat bekerjasama dengan pempengaruh media sosial, institusi pendidikan dan syarikat komunikasi berkaitan isu ini dalam dunia yang semakin terhubung secara digital.

Malah, majlis yang diadakan secara tertutup itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Nancy berkata, kesungguhan dalam membentuk nilai murni dan memberikan pendidikan yang holistik kepada generasi muda kini adalah kunci untuk menanamkan semangat kepimpinan dan daya saing yang kukuh.

"Melalui usaha ini, kita membina asas yang kukuh untuk memastikan bahawa anak-anak kita tidak hanya menjadi pemimpin yang cemerlang, tetapi juga warga global bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran masa depan.

"Saya mengajak semua pihak untuk bersatu padu dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di negara kita.

"Melalui kerjasama ini, kita dapat memastikan bahawa setiap anak memperoleh lingkungan yang selamat, sokongan yang mencukupi dan peluang untuk berkembang secara optimum, menjadikan mereka aset berharga dalam pembentukan masa depan negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menggalakkan semua pihak supaya bersatu padu dan menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Oleh itu, Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) yang berkuat kuasa 1 September lalu adalah bukti keprihatinan terhadap isu keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta usaha kerajaan dalam memastikan hak mereka terbela.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan keluarga dalam mengenal pasti, melaporkan serta menangani kes penyalahgunaan atau penganiayaan kanak-kanak.

"KPWKM sentiasa menyambut cadangan dan idea baharu yang relevan dengan kehendak semasa kerana perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, majlis ini memegang peranan meningkatkan kesedaran, mengubah dasar dan mencipta persekitaran yang lebih selamat bagi kanak-kanak dalam serta luar talian.

"Sokongan yang luar biasa mencerminkan tekad rakyat Malaysia bagi mencipta perubahan yang positif. Acara ini menjadi tonggak penting dalam mengukuhkan usaha melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman yang mungkin merugikan kehidupan mereka.

"Kita perlu memperjuangkan pelaksanaan undang-undang yang ketat, rangka kerja inovatif dan teknologi yang menghalang pemangsa dalam talian.

"Ini penting untuk menyediakan jalan bagi tindakan pantas dan tegas terhadap pelaku penderaan seksual dalam talian," katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 5,858 pada 2020 kepada 6,144 pada 2021 dan 6,770 pada tahun lalu.

Antara Januari dan Mei lalu, JKM menangani 2,959 kes. Perlu diingat bahawa sebelum pandemik Covid-19, pada 2019, JKM melaporkan 6,382 kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan.

Data yang tersedia untuk 2021 menunjukkan bahawa daripada 6,144 kanak-kanak yang dilaporkan, 197 ditinggalkan atau tiada ibu bapa, 2084 diabaikan, 1614 diserang fizikal, 1962 diserang seksual, 184 diserang emosi dan 103 dalam kategori lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 6:30 AM