BERNAMA

CADANGAN penstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam selewat-lewatnya penghujung tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata penstrukturan semula itu yang membabitkan JKM negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta institusi di bawah pengurusan JKM, bertujuan memperkasakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Cadangan ini juga membantu mengurangkan beban tugas dan keperluan perjawatan.

"Justeru itu, KPWKM komited berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasaran selaras dengan perubahan sosial serta cabaran masyarakat dinamik," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya turut mengemukakan permohonan pemberian elaun khas kepada pegawai skim perkhidmatan setelah mengambil kira aspek beban tugas serta peranan pegawai terbabit dalam menjalankan tugas.

Katanya, antara jawatan terbabit ialah Pembantu Pembangunan Masyarakat, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Pegawai Pembangunan Masyarakat.

Menyentuh isu perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, beliau berkata, pihaknya kini dalam proses menambah bilangan pelindung kanak-kanak bagi memastikan peningkatan keberkesanan dalam urusan kes sedemikian.

Menurut Rina, pihaknya turut menerima cadangan agar ditubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak menerusi beberapa siri mesyuarat dan bengkel.

"JKM memainkan peranan sebagai sebuah agensi yang menyediakan perkhidmatan perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak dalam semua aspek termasuk penyalahgunaan, penyeksaan, penderaan, diskriminasi, eksploitasi dan salah laku jenayah," katanya.

DATUK Seri Rina Mohd Harun. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Rina Mohd Harun. FOTO Arkib NSTP

Menjawab celahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang mendakwa Talian Kasih 15999 tidak beroperasi selama dua minggu dari 18 hingga 31 Mac lalu, Rina menafikan perkara itu dan berkata, talian tersebut beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kenyataan itu tidak benar malah kita (KPWKM) sentiasa memastikan Talian Kasih 15999 dibuka dan saya ada fakta jumlah panggilan yang diterima sebelum dan semasa PKP. Sebagai contoh, pada April kita terima 20,305 panggilan berbanding 4,000 panggilan sebelum PKP," kata Rina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:47 PM