Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Datuk Seri Nancy Shukri melawat Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor Bahru di sini hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Datuk Seri Nancy Shukri melawat Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor Bahru di sini hari ini.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 3,848 kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak dilaporkan dari Januari sehingga Ogos tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mengikut statistik, sebanyak

6,382 kes dilaporkan pada 2019 diikuti 5,858 kes pada 2020 serta 6,144 kes pada 2021.

Beliau berkata, pihaknya yakin terdapat kes yang tidak dilaporkan.

"Kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak tidak seharusnya disembunyikan kerana apabila dilaporkan ia membuka ruang bagi siasatan dan tindakan sesuai.

"Kita menyeru masyarakat tampil melaporkan kes menerusi Talian Kasih kerana ia menjadi mekanisme bagi menyelamatkan mangsa," katanya di sidang media ketika mengadakan lawatan ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor Bahru di sini hari ini.

Nancy berkata, lawatan itu adalah untuk melihat sendiri dan memahami keperluan perlindungan keselamatan.

Beliau berkata, secara prinsip, kabinet bersetuju untuk tubuhkan jabatan, institusi khas kanak.

"Kami juga berhasrat untuk memperkasakan sumber manusia dengan meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan kes di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Selain itu ia untuk memperkasa komuniti untuk mengambil berat dan peka dengan keadaan sekeliling terutamanya terhadap kes yang membabitkan kanak-kanak," katanya.

Nancy berkata, Akta Kanak-Kanak yang wujud sudah memadai untuk melindungi hak kanak-kanak tetapi ia akan dikaji semula untuk memastikan perlindungan yang lebih baik kepada yang terbabit.

Menurutnya, akta itu dipinda baru-baru ini, pada 2021.

"Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), undang-undang wujud mematuhi konvensyen hak kanak-kanak antarabangsa.

"Bagaimanapun pindaan dilakukan pada 2017 dan 2021 tidak berhenti di sana saja, kita akan mencadangkan bagi memperkasakan pegawai, kementerian serta masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 1:34 PM