GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan sebanyak 2,959 kes penderaan berbentuk fizikal, seksual, emosi dan pengabaian kanak-kanak, dari Januari hingga Mei tahun ini.

KPWKM dalam kenyataan hari ini menyebut daripada jumlah itu, 647 kes berlaku di Selangor, diikuti Sabah sebanyak 333 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (326 kes).

Menurut kenyataan itu, KPWKM telah menubuhkan 140 Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK), 133 Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dan 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) sebagai mata dan telinga kementerian itu sekali gus mewujudkan program advokasi kepada masyarakat setempat.

"Kerjasama strategik dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diadakan sebagai sinergi antara kementerian dalam meneruskan program advokasi kepada masyarakat agar lebih cakna dalam isu ini," menurut KPWKM.

Pihak KPWKM juga menyediakan Talian Kasih iaitu talian prihatin masyarakat sebagai akses kepada orang awam dan berfungsi sebagai single point of contact kepada masyarakat sebagai usaha mewujudkan persekitaran selamat kepada kanak-kanak.

"Sebarang bentuk pengabaian dan penderaan kanak-kanak bolehlah dilaporkan di Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019 2615999 atau kunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran atau menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan," menurut kenyataan itu.

Berhubung Program Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri hari ini, kenyataan itu menyebut program itu ialah inisiatif menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan golongan kanak-kanak di negara ini.

"Program Advokasi hari ini menjadi platform kepada masyarakat setempat khususnya guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komuniti setempat berperanan dalam membantu KPWKM mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:11 PM