GRANTURISMO Folgore.
GRANTURISMO Folgore.
Lizam Ridzuan


PRESTASI dan kecemerlangan enjin serta bunyi ikonik menyerlahkan kenderaan jenama mewah dari Itali, Maserati

yang kini dalam fasa terakhir penawarannya sebelum beralih ke model kenderaan elektrik (EV).

Model seperti Levante, Ghibli dan Quattroporte Trofeo yang bakal dihentikan pengeluarannya pada penghujung tahun ini masih dijual sehingga 2024.

Sebagai sebahagian daripada sejarah automotif dunia, ini tempoh terbaik memiliki model edisi khas buat peminat jenama itu yang dipamerkan di Festival Motor Valley, Itali baru-baru ini.

Kesemua model enjin pembakaran bahan api (ICE) itu kini bakal digantikan dengan Maserati GranTurismo Folgore adalah EV sepenuhnya yang pertama untuk jenama itu.

Grecale Folgore pula adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama sebagai permulaan dalam penawaran model kenderaan EV Maserati menjelang 2025 dan sepenuhnya model EV pada 2030.

Momen bersejarah bagi syarikat yang berpangkalan di Modena itu terus memacu visi ke arah masa hadapan dengan tenaga baharu dan dalam masa sama mengekalkan elemen dan DNA model 'Trident' kekal menjadi pilihan buat pengumpul kenderaan mewah.

Sejak 1959, apabila Maserati 5000GT dicipta sebagai kereta pertama dengan kuasa V8, lebih daripada 100,000 unit sudah dibuat dan dijual dengan enjin lapan silinder.

MODEL Formula E Tipo Folgore.
MODEL Formula E Tipo Folgore.

Edisi terkini seperti Maserati Trofeo, Ghibli 334 Ultima dan Levante V8 Ultima juga dipertontonkan di Goodwood Festival of Speed pada Julai hadapan.

Sepanjang empat hari acara Motor Valley Fest, setiap sudut di Modena diambil alih oleh pengeluar kenderaan Trident itu yang dipamerkan di lokasi ikonik bandar ini.

GHIBLI Trofeo Zéda.
GHIBLI Trofeo Zéda.

Di Piazza Grande, keseluruhan rangkaian Maserati Folgore dipamerkan buat kali pertama iaitu GranTurismo Folgore One Off Luce dan Grecale Folgore disertai oleh GEN3 Maserati Tipo Folgore yang futuristik dengan tempat duduk tunggal untuk bersaing dalam Kejohanan Dunia Formula E ABB FIA tahun ini.

Rangkaian Trofeo - menampilkan Levante, Ghibli dan Quattroporte dalam edisi Zèda unik bagi meraikan enjin V8, menguasai Piazza XX Settembre.

Bilik pameran di Viale Ciro Menotti juga menganjurkan sambutan ikonik GranTurismo, dari model asalnya hingga ke hari ini, dengan dua model klasik, iaitu GranTurismo Zèda dari generasi sebelumnya dan GranTurismo One Off Prisma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 7:00 AM