SPYDER prestasi tinggi.
SPYDER prestasi tinggi.
Lizam Ridzuan


MODEL ini adalah yang pertama menggunakan enjin revolusi yang dibangunkan sepenuhnya oleh Maserati.

Ia dikuasakan dengan enjin Nettuno 3.0 liter V6 yang menghemburkan 630 kuasa kuda (hp) pada 7,500 rpm dan tork 730Nm pada 3,000 hingga 5,500rpm, diperkenalkan pada 2022 di Malaysia menerusi versi coupe oleh pengedar utamanya, Naza Italia.

Untuk tampil lebih elegan, versi spyder pula ditawarkan baru-baru ini menerusi Maserati MC20 Cielo untuk ciri pemanduan prestasi dan gaya lebih elegan.

MC yang membawa maksud Maserati Corsa (Perlumbaan) dan 20 merujuk kepada tahun 2020 iaitu era baharu untuk jenama ini dan Cielo (langit) yang mengetengahkan konsep kenderaan ini untuk kepuasan pemanduan dengan pemandangan alam sekitar dan ciri coupe.

Seperti mana model coupe, ia dibina di kilang milik syarikat itu di Viale Ciro Menotti, Modena, Itali serta dibangunkan di Makmal Inovasi Maserati.

RUANG kabin material Alacantara.
RUANG kabin material Alacantara.

Secara asasnya rekaannya adalah sama dengan versi coupe cuma dibezakan dengan ciri utama iaitu bumbung kaca boleh dibuka menerusi kuasa elektrik dalam tempoh 12 saat dengan teknologi Advanced Polymer-Dispersed Liquid Crystal (PDLC).

Menerusi teknologi electrochromic kaca pintar ia boleh bertukar daripada jelas kepada opaque dengan hanya menekan satu butang pada skrin multimedia.

Elemen lain yang ada pada model ini termasuk casis gentian karbon yang digunakan untuk model coupe, spyder serta EV (akan datang) yang menawarkan kekukuhan dan pengendalian terbaik di jalanan dan litar.

Turut mencuri tumpuan ialah ciri pintu rama-rama seakan-akan sayap bila dibuka untuk kemudahan keluar masuk kenderaan serta memperlihatkan kabin dengan kokpit gentian karbon.

Kemasan bermutu tinggi termasuk versi yang dilancarkan ini dengan tiga lapisan warna metalik yang dikenali sebagai Acquamarina boleh dipilih menerusi program binaan khas (customisation) Maserati Fuoriserie.

Untuk kabin dengan dua tempat duduk alacantara serta dilengkapi sistem audio High Premium Sonus Faber serta 12 pembesar suara, serta Sistem Multimedia Bantuan Pintar Maserati (MIA) daripada Maserati Connect dengan sistem meter TFT 10.2 inci dan infotainmen bersaiz 10.25 inci.

CIRI gaya prestasi.
CIRI gaya prestasi.

Model ini juga dengan Sistem Keselamatan Aktif termasuk sensor parkir, kamera paparan belakang dan pemantauan titik buta sebagai ciri standard dan brek kecemasan autonomi, maklumat papan tanda dan kamera 360 darjah sebagai tambahan kepada Cielo.

Sesuai dengan elemen prestasi dengan lapan kelajuan DCT ia mampu mecapai pecutan maksimum sehingga 320 kilometer/sejam (km/j) dan sifar ke 100 km/j dalam tempoh tiga saat.

Ia juga dipadankan dengan rim bersaiz 20 inci, brek cakera dengan angkup Brembo enam injap hadapan serta empat untuk belakang.

Maserati MC20 Cielo dijual pada harga bermula RM1.28 juta (sebelum cukai dan duti, opsyen customization dan insurans) serta tiga tahun waranti standard pengeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:01 AM