GAYA Levante S GranSport Zegna Pelletessuta.
GAYA Levante S GranSport Zegna Pelletessuta.
Lizam Ridzuan


BUKAN sekadar prestasi malah kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama yang dihasilkan buat jenama ini didatangkan dengan ciri Grand Tourer (GT) dan pengenalan pelbagai varian khas sejak 2016.

Untuk 2021, Maserati memperkenalkan Levante S GranSport malah ia bekerjasama dengan Ermenegildo Zegna bagi menghasilkan kemasan tekstil kulit Pelletessuta khusus untuk ruang dalamannya.

Jenama fesyen dan kenderaan dari Itali ini adalah gabungan terbaik dalam menawarkan elemen eksklusif serta ciri mewah yang membezakannya dengan varian lain.

Hasil kajian selama beberapa tahun, mereka membangunkan jalur kulit Nappa bagi menggantikan benang fabrik konvensional yang berjaya menghasilkan lapisan kain mewah ringan, lembut dan tahan lama.

Kerjasama julung kali Maserati-Zegna juga memberikan lebih pilihan buat model ini yang kemudian dikembangkan dengan kemasan yang lebih berciri individu.

RUANG dalaman sentuhan jenama fesyen dunia.
RUANG dalaman sentuhan jenama fesyen dunia.

Edisi khas buat varian Levante S GranSport ini turut menampilkan warna luaran gangsa tiga lapisan (bronzo tri-coat) dan pilihan biru dengan rim Helios 21 inci.

Ruang dalaman padanan rona hitam Pelletessuta serta kemasan kayu Radica dihiasi emblem 'Ermenegildo Zegna Pelletessuta' pada konsol tengah antara elemen eksklusif model ini.

Ia juga mengekalkan ciri mekanikal yang sama iaitu enjin 2,979cc turbo berkembar V6 menjana 430 kuasa kuda (kk) dan tork 580Nm melalui pengendalian pacuan semua roda (AWD).

RIM Helios 21 inci dengan angkup brek hitam.
RIM Helios 21 inci dengan angkup brek hitam.

Kelajuan maksimumnya mencecah 264 kilometer/sejam (km/j). Ia mampu memecut daripada sifar ke 100 km/j dalam tempoh 5.2 saat hasil pacuan transmisi kotak gear lapan kelajuan ZF.

Levante S ini juga didatangkan dengan sistem brek Brembo 6-omboh dwiacuan dan angkup brek hitam.

Ia bukan sahaja tampil unik malah untuk prestasi membrek lebih baik.

Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) kini dengan lebih fungsi aktif seperti Kawalan Kenderaan Bersepadu, Amaran Perlanggaran Hadapan dan Bantuan Titik Buta Aktif.

Ciri standard lain antaranya membabitkan sistem pembesar suara Bowers & Wilkins serta kit badan GranSport.

KERUSI penumpang kekal elemen Pelletessuta.
KERUSI penumpang kekal elemen Pelletessuta.

Untuk pasaran Malaysia, hanya lima unit Levante S GranSport Zegna Pelletessuta yang ditawarkan oleh Naza Italia sebagai pengedar rasmi jenama ini pada harga bermula RM838,800.

Ini termasuk dengan jaminan pengeluar tanpa had perbatuan dan tambahan program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000km atau yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 7:00 AM