HONDA Civic e:HEV RS, varian baharu tawar prestasi pintar.
HONDA Civic e:HEV RS, varian baharu tawar prestasi pintar.
HM Digital

GENERASI ke-11 Honda Civic Serba Baharu diperkenalkan di Malaysia Januari lalu dan menambah kepada varian sedia ada, kini diperkenalkan pula model 2.0L e:HEV RS.

Vroom berpeluang menyertai sesi 'Teaser Test Drive' model itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.

Untuk rekod, antara ciri utama terbaharu yang ditawarkan pada model varian ini ialah pada bahagian enjin.

Ia yang pertama dalam barisan Honda Malaysia dibekalkan dengan trenkuasa 2.0L e:HEV Hibrid.

Seperti yang terdapat pada sistem Honda City, City Hatchback dan HR-V dengan 1.5L, Civic ini didatangkan dengan dua motor elektrik serta enjin 2.0L yang baharu dibangunkan.

Ia menawarkan kuasa enjin 184PS dan tork 315Nm. Penulis dapat mengujinya menerusi ujian di litar.

Antara aktiviti yang diadakan ialah ujian pecutan jalan lurus menerusi dua model iaitu Civic RS sedia ada dan e:HEV RS baharu.

Ternyata model hibrid lebih berkuasa apabila ia mencapai pecutan lebih pantas.

UJIAN slalom.
UJIAN slalom.

E:HEV (kiri) dengan rim sport baharu.
E:HEV (kiri) dengan rim sport baharu.

Selain itu, turut diadakan ujian slalom dan pemanduan di litar. Ia menyerlahkan lagi prestasi dan pengendalian kenderaan ini.

Tiada 'ngauman' pada enjin ketika penulis menekan pedal minyak ke tahap maksimum.

Malah enjin 2.0L hibrid ini menyalurkan bunyi buatan (artificial sound) ketika menggunakan mod sport untuk lebih terasa pengalaman umpama jentera prestasi.

Pengendalian di litar juga stabil pada kelajuan tinggi dan penulis sempat mencuba ketiga-tiga mod iaitu Normal, Econ dan Sport.

Di litar, sudah pasti mod Sport menjadi pilihan.

Meskipun hanya mencuba separuh litar SIC, namun ia sudah cukup lengkap untuk semua jenis selekoh dan laluan lurus bagi menguji kelajuan maksimum selain kawalan selekoh pada kelajuan tinggi.

Enjin 2.0L e:HEV ini juga dilengkapi transmisi E-CVT dengan Unit Kuasa Pintar (IPU).

Bateri lithium-ion dibekalkan juga ringan serta kompak namun pengecasan dan storan kuasanya cukup efisien.

Reka bentuk luaran model ini masih sama cuma dengan beberapa kemasan yang diperbaharui seperti logo Honda dengan lingkaran biru selain emblem e:HEV bagi mudah mengenalpasti varian ini.

EMBLEM e:HEV RS.
EMBLEM e:HEV RS.

KAD kunci.
KAD kunci.

Ia juga didatangkan dengan elemen krom pada gril, lampu utama, pemegang pintu, jalur tingkap dan pintu.

Selain itu, untuk varian Civic lain, ia datang dengan dwi ekzos.

Berbeza dengan dengan e:HEV RS yang hanya didatangkan dengan ekzos tunggal selain rim 18 inci rekaan baharu.

Kad Kunci juga julung kali diperkenalkan untuk model Honda di Malaysia.

Ia bagi keselesaan kemasukan ke dalam kenderaan dan menghidupkan enjin tanpa kunci.

Ciri keselamatan Honda Sensing juga melengkapi Civic e:HEV RS ini dengan sistem seperti Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS), Sistem Notifikasi Kenderaan hadapan Bergerak (LCDN) dan Mitigasi Keluar Jalan Raya (RDM).

Untuk ruang kabin, perinciannya akan dipaparkan ketika pelancaran.

Pengumuman harga akan dilakukan tidak lama lagi.

Honda Civic e:HEV RS varian tertinggi kini dibuka untuk tempahan. Ia menambah varian daripada E, V dan RS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:57 AM