GAYA premium CR-V Serba Baharu.
GAYA premium CR-V Serba Baharu.
Lizam Ridzuan


Selepas pelancarannya pada hujung tahun lalu, Honda CR-V Serba Baharu antara model kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terus mendominasi pasaran segmen-C (bukan jenama nasional) di Malaysia.

Ia menerima tempahan hampir 6,500 unit sehingga Februari lalu dan sebanyak 1,500 unit sudah didaftarkan dalam tempoh kurang tiga bulan.

Untuk memberi pengalaman lebih dekat dengan model itu Honda Malaysia mengadakan sesi pandu uji media dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk CR-V Serba Baharu itu.

Untuk sesi pandu uji ini media disediakan dengan dua varian iaitu 1.5L Turbo (V) dan 2.0L e:HEV RS dan setiap kenderaan dengan tiga wakil media berada di dalamnya yang akan bergilir-gilir memandu pergi dan pulang.

Untuk siaran kali ini penulis akan berkongsi pemanduan daripada varian hibrid menerusi e:HEV adalah yang pertama kali ditawarkan untuk Honda CR-V ini.

Untuk rekaan sudah pasti model generasi ke-6 ini lebih panjang, sedikit lebar dan tinggi daripada generasi terdahulu yang hadir dengan rekaan lebih ringkas namun tampil premium.

Untuk rekaan luaran ia dibezakan dengan varian lain menerusi kemasan Sash-Garnish (hitam berkilat) pada tiang-B, kemasan bawah bampar hadapan dan belakang dengan warna badan, cermin sisi hitam, serta logo Honda dengan bingkai biru.

CIRI elegan padanan rim hitam 18 inci.
CIRI elegan padanan rim hitam 18 inci.

Bagi melengkapi elemen sporty ia diberi padanan rim aloi 18 inci warna gelap (dark clear & Berlina Black), gril hadapan baharu dengan logo RS yang juga tedapat pada pintu belakang antara perbezaannya.

Rekaan lampu LED lebih nipis hadapan dan belakang elemen tegak dan melintang menambah gaya model ini adalah ciri utamanya.

Tampil dalam ruangan kabin ia dilengkapi kemasan hitam dengan jahitan merah sebagai ciri eksklusif serta kemasan Hairline Metal dan papan pemuka elemen honeycomb hitam.

Kabin luas juga didatangkan dengan kerusi larasan elektrik pemandu dan hadapan serta fungsi memori, lampu kabin sentuhan tangan, sistem paparan audio bersaiz 9 inci dan meter TFT 10.2 inci dengan paparan Head-up pada cermin hadapan.

Untuk penumpang belakang juga terdapat corong pendingin hawa dan port pengecas USB serta penyandar kerusi yang boleh dilaras 8 ketetapan mengikut keperluan dan keselesaan.

KABIN elegan dan premium.
KABIN elegan dan premium.

Ruang kargo juga luas dengan 589 liter berbanding 522 (generasi ke-5) dan boleh memuatkan dua buah basikal MTB jika kerusi baris kedua dijatuhkan.

Untuk pemanduan dengan enjin generasi baharu hibrid e:HEV 1,993 cc, 4 silinder, Atkinson Cycle DOHC i-VTEC dan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) system serta transmisi baharu E-CVT yang bukan sahaja meningkatkan prestasi malah emisi kepada alam sekitar yang lebih baik.

Ia menawarkan kuasa 148PS pada 6,100 rpm dan tork 190Nm pada 4,500rpm dan menerusi dwi motor elektrik ia menambah kepada 184PS pada 4,500 rpm dan 335Nm pada 0 hingga 2,000 rpm.

Sepanjang memandunya ternyata enjin ini sangat berprestasi malah menawarkan kuasa yang responsif terutama jika hendak memintas kenderaan ketika penulis memandu di laluan jalan raya di Felda Sg Tengi ke Tanjong Malim, Perak.

Malah ketika di lebuh raya ia nyata mengalirkan kuasa yang lancar dan berterusan dengan transmisi e-CVT pacuan dua roda (2WD) hadapan dan dibantu dengan dwi-motor elektrik dan terdapat tiga mod pemanduan Eco, Normal dan Sport.

Kesemua varian dengan suspensi hadapan MacPherson Strut dan belakang Multi-Link menawarkan kelesaan serta pengendalian yang baik untuk sebuah SUV.

Untuk satu isian penuh 57 liter ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 600km dengan penggunaan sekitar 5-6 liter untuk setiap 100 km.

ENJIN 2.0 liter hibrid.
ENJIN 2.0 liter hibrid.

Sistem 12 pembesar suara premium, Bose, Honda Sensing, kamera 360 darjah, Honda Lane Watch, ciri keselamatan Honda Sensing, 8 beg keselamatan dan aksesori (pilihan) Modulo menambah gaya buat CR-V Serba Baharu ini.

Secara keseluruhan varian e:HEV ini menampilkan varian teratas dengan ciri lengkap sebagai SUV yang praktikal dan bergaya serta dilengkapi elemen keselamatan terbaik.

Selain tampil ciri prestasi dengan hantaran kuasa yang baik dengan enjin generasi baharu 2.0L hibrid, ia juga menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding turbo.

Ruang kabin selesa dan penulis juga berkesempatan duduk di belakang dan menawarkan ruang kaki dan kepala yang sangat baik serta tempat duduk elemen praktikal menjadikan ia saling melengkapi bagi keperluan setiap pengguna.

Terdapat lima pilihan warna dan untuk pasaran Malaysia Honda CR-V 2.0L e:HEV RS Serba Baharu ditawarkan pada harga RM195,900 (atas jalan tanpa insurans).

CR-V adalah model pemasangan tempatan (CKD) di Kilang Pemasangan Honda di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 6:07 AM