PRESTASI CR-V e: HEV RS yang tidak mengecewakan.
PRESTASI CR-V e: HEV RS yang tidak mengecewakan.
Muhamaad Razis Ismail


PASTI ramai yang ternanti-nanti pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V generasi keenam yang akan dilancarkan pada minggu hadapan. Terdahulu, pada 15 November lalu, Honda Malaysia membuat kejutan apabila secara rasmi membuka tempahan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) serba baharu ini di semua 101 pengedar seluruh negara.

Bagi pasaran Malaysia, Honda CR-V boleh didapati dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo dan 2.0 e:HEV RS.

Pada hari sama, penulis dan beberapa rakan media diterbangkan ke Chiang Mai, Thailand untuk memandu uji SUV terbaharu keluaran syarikat dari Jepun ini.

Sebelum ini penulis ada berkongsi pengalaman memandu uji Honda CR-V enjin 1.5 liter VTEC Turbo dari Chiang Mai ke Chiang Rai yang secara keseluruhan mendapat maklum balas positif daripada pengamal media yang turut serta.

Pada keluaran kali ini, Vroom ingin berkongsi pengalaman memandu uji Honda CR-V enjin e:HEV RS dari Chiang Mai ke Chiang Rai menggunakan laluan yang berbeza.

Berdasarkan maklumat dikongsikan, e: HEV RS tampil dengan tren kuasa e:HEV dengan 'Hybrid Traction Motor' yang sudah dipertingkatkan untuk menghasilkan 184 PS dan daya kilas 335 Nm dengan transmisi eCVT.

Menariknya dalam keluarga CR-V, SUV terbaharu ini yang pertama menggunakan enjin 2.0 e:HEV. Dengan enjin ini, kenderaan masih dapat memberi prestasi yang baik dan pada masa menjimatkan penggunaan bahan api.

TAMPIL dengan tren kuasa e:HEV dengan ‘Hybrid Traction Motor’ yang sudah dipertingkatkan.
TAMPIL dengan tren kuasa e:HEV dengan ‘Hybrid Traction Motor’ yang sudah dipertingkatkan.

Daripada luaran, hampir keseluruhan reka bentuk luaran Honda CR-V e:HEV RS mempunyai persamaan dengan varian 1.5 liter VTEC Turbo iaitu nampak lebih tegap, berkotak dan 'sporty' termasuk kombinasi gril depan dengan corak 'mesh' dan bukaan bamper lebih lebar yang dipadankan dengan lampu depan LED yang lebih langsing.

Begitu juga dengan ruangan dalaman luas dan tidak jauh beza dengan Honda Civic berjaya menyerlahkan ciri-ciri premium dan elegan di bahagian dalam SUV ini.

Lebih menarik, keluasan di bahagian dalam menjadi tarikan utama untuk memberi keselesaan bukan sahaja kepada pemandu, malah penumpang. Ruang kelegaan kaki dan kepala lebih luas disediakan dengan dilengkapi corong pendingin hawa di bahagian belakang serta pengecas gajet.

Bagaimanapun, penelitian yang dibuat terhadap varian RS ini terdapat sedikit perbezaan diketengahkan iaitu logo H berwarna biru di hadapan dan lambang e:HEV di but belakang.

Varian CR-V e:HEV RS turut dilengkapi 'Active Shutter Grille' untuk meningkatkan aerodinamik dan kecekapan bahan api. Teknologi ini mengawal secara pintar aliran udara dengan membuka dan menutup pengatup mengikut kelajuan kereta, suhu enjin dan keperluan penyejukan.

Daripada segi teknologi keselamatan Honda Sensing, ia hampir sama dengan varian 1.5 liter VTEC Turbo kecuali terdapat penambahan 'Adaptive Driving Beam' (ADB) yang boleh didapati pada e:HEV RS.

SISTEM infotainment yang mempunyai ciri ‘power flow’.
SISTEM infotainment yang mempunyai ciri ‘power flow’.

Varian ini mempunyai tiga pilihan mod pemanduan iaitu ekonomi, normal dan 'sport' berbanding hanya dua (ekonomi dan normal) untuk varian 1.5 liter VTEC Turbo.

Selain itu, sistem audio untuk varian ini menggunakan 12 speaker 'Bose Premium Audio' untuk menjadikan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.

Secara peribadi, penulis tertarik dengan sistem infotainment yang mempunyai ciri 'power flow' di mana pemandu boleh melihat bagaimana sistem motor elektrik dan enjin varian ini beroperasi.

Dilaporkan varian ini lebih jimat kerana menggunakan bahan api 20.8 kilometer per liter berbanding enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang merekodkan 14.3 km per liter.

Daripada segi pemanduan di laluan berbengkang-bengkok, menaiki bukit dan lurus, prestasi CR-V e: HEV RS yang menggunakan bateri ion litium berkuasa 1.06 kWh ini sememangnya tidak mengecewakan.

Biarpun mempunyai saiz yang agak besar, apabila menekan minyak, penulis dapat merasai kuasa memecut kenderaan yang lebih lancar dan ringan.

KAKITANGAN Honda Malaysia bersama pengamal media yang menyertai program pandu uji Honda CR-V generasi keenam di Thailand baru-baru ini.
KAKITANGAN Honda Malaysia bersama pengamal media yang menyertai program pandu uji Honda CR-V generasi keenam di Thailand baru-baru ini.

Penulis difahamkan oleh pihak Honda Malaysia, CR-V generasi keenam untuk pasaran di Malaysia tidak dilengkapi cermin suria dan ditawarkan lima tempat duduk sahaja.

Secara keseluruhan, bagi yang inginkan pengalaman baharu dalam pemanduan dan pada masa sama inginkan keselesaan dan menitikberatkan kecekapan penggunaan bahan api, Honda CR-V e: HEV RS, boleh dipertimbangkan sebagai kenderaan pilihan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:19 AM