HONDA CR-V Serba Baharu tampil elegan.
HONDA CR-V Serba Baharu tampil elegan.
Lizam Ridzuan


Selepas tujuh tahun akhirnya Honda CR-V Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan konsep 'Blown Away'.

Ia kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz pertengahan generasi keenam dan sejak model generasi kelima yang diperkenalkan pada 2016 sudah terjual lebih 64,000 unit.

CR-V membawa maksud Comfortable Runabout Vehicle kini dengan rekaan yang lebih besar daripada terdahulu dengan pertambahan 40 milimeter (mm) pada jarak roda dan 68mm bagi panjang keseluruhan.

Empat varian serta pertama kali ditawarkan dengan enjin hibrid generasi baharu menerusi 2.0L e:HEV RS 2WD, selain 1.5L S 2WD, 1.5L E 2WD, 1.5L V AWD dengan enjin Turbo VTEC.

Elemen baharu yang ditawarkan dengan gril hadapan corak Mesh tebal, lampu LED di bahagian depan dan belakang, lampu isyarat LED, dwi-ekzos kemasan krom dan lampu membelok aktif.

Untuk varian paling atas, e:HEV RS dilengkapi dengan gril penutup aktif (Active Shutter Grille) iaitu ciri automatik pada bampar hadapan bawah yang menambah baik aerodinamik dan penjimatan bahan api.

Selain itu, varian e:HEV RS dipadankan rim aloi Berlina Hitam 18 inci yang meningkatkan gaya premium model ini.

Kapasiti ruang but kini seluas 589 liter dengan kerusi belakang dinaikkan dan bertambah kepada 1,072 liter apabila kerusi dijatuhkan dan ciri pintu elektrik dan hanya perlu menghalakan kaki di bahagian bampar belakang untuk membuka dan menutup.

Tempat duduk kulit di dalam varian E dan ke atas menambah rasa premium dalam kabin.

KABIN luas dan selesa.
KABIN luas dan selesa.

RUANG kargo luas dan fleksibel.
RUANG kargo luas dan fleksibel.

Melengkapkan semua itu, pemandu juga akan mendapat lebih keselesaan dengan Kerusi Pemandu Elektrik 8-ketetapan dengan fungsi memori dua posisi yang membolehkan mereka mencari posisi paling selesa dan menyimpan konfigurasi kegemaran.

Untuk infotainmen dengan paparan Audio 9-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto dan Pengecas Tanpa Wayar dan varian V dan e:HEV RS menawarkan lampu suasana termasuk Meter TFT 10.2 inci.

Ia juga hadir dengan Sistem Audio Premium 12- pembesar suara dari Bose menjadikan CR-V Serba Baharu model pertama dalam barisan kenderaan buatan tempatan Honda yang dilengkapi dengan ciri baharu ini.

Buat pertama kali untuk Honda Malaysia, model ini dilengkapi dengan lapan beg udara termasuk dua beg udara di bahagian lutut. Selain itu, Honda CONNECT juga hadir sebagai ciri standard untuk semua varian.

Honda SENSING untuk semua varian yang dinaik taraf dengan Wide-Angle Radar, Kamera dan Sensor Sonar.

CR-V Serba Baharu yang didatangkan dalam lima warna dan yang terbaharu Biru (Canyon River Blue) selain Putih (Platinum White Pearl), Perak (Lunar Silver Metallic), Kelabu (Meteoroid Gray Metallic) dan Merah (Ignite Red Metallic).

Untuk pasaran Malaysia Honda CR-V Serba Baharu ditawarkan pada harga RM159,900 (S), RM169,900 (E) dan RM181,900 (V) dan harga varian e:HEV RS akan diumumkan tidak lama lagi dan akan mula berada di pasaran pada Januari 2024.

Sempena ulang tahun ke-75 Honda dan 20 tahun pengeluaran tempatan (CKD) model CR-V di Malaysia, varian S akan dijual pada harga RM157,900 untuk 750 unit sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 7:00 AM