GAYA sporty dan premium.
GAYA sporty dan premium.
Lizam Ridzuan


KEHADIRAN Honda City Hatchback Serba Baharu ke pasaran tempatan yang dilancarkan baru-baru ini, semestinya ditunggu ramai peminat jenama Honda.

Apa tidaknya, ia adalah kenderaan yang ekonomikal, berprestasi selain dijual pada harga mampu milik.

City Hatchback yang menggantikan model Honda Jazz ditawarkan menerusi empat varian iaitu RS e:HEV, V, E dan S sebagai model dalam segmen B dengan ciri termaju, premium serta sporty.

Lihat saja barian RS yang juga varian tertinggi, ia tampil dengan rekaan luaran aktif dengan gril hadapan hitam berkilat, perumah cermin sisi, selain ciri eksklusif pada gril bawah, perumah lampu kabus dan bampar belakang.

Dengan padanan rim aloi bersaiz 16 inci, ia dilengkapi lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus LED selain spoiler dan lampu belakang LED.

Untuk prestasi, varian RS dijana dengan teknologi e:HEV Honda. Ia juga dilengkapi 1.5L Sports 'intelligent Multi-Mode Drive' (i-MMD) dengan transmisi 'Electric Continous Variable Transmission' (e-CVT).

Ia menjana 109PS dan tork 253Nm, setaraf enjin kenderaan segmen D melalui 2-motor yang boleh bertukar di antara tiga mod iaitu pacuan EV, hibrid atau enjin mengikut kesesuaian serta keperluan.

Varian petrol V, E dan S City Hatchback Serba Baharu pula menggunakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang mampu menjana kuasa 121PS, paling tinggi dalam segmennya, dan tork maksimum 145Nm.

Ruang kabinnya juga sofistikated. Bagi varian RS e:HEV, ia didatangkan dengan tempat duduk UltrasuedeƆ sporty bersama jahitan benang merah.

ELEMEN praktikal dengan ciri Ultra Seats.
ELEMEN praktikal dengan ciri Ultra Seats.

RUANG kabin ciri sofistikated.
RUANG kabin ciri sofistikated.

Bagi varian V, ia datang dengan tempat duduk kulit.

Selain itu, paparan kluster meter TFT bersaiz 7 inci juga cukup sesuai untuk model varian RS e:HEV.

BUkan itu saja malah ia dilengkapi corong penyaman udara untuk penumpang belakang, ia adalah yang pertama dalam segmennya.

Paparan audio berukuran 8 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto, penyaman udara automatik dan dua port USB antara ciri yang ada pada varian RS e:HEV, V dan E.

Ciri Ultra Seats juga melengkapi City Hatchback ini dengan empat mod ultra iaitu Utility, Long, Tall atau Refresh.

Butnya pula seluas 289 liter.

Ciri keselamatan dengan Honda Sensing juga terdapat pada varian RS e:HEV dengan tujuh fungsi utama iaitu Kawalan Pemanduan Adaptif, Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran, Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan, Amaran Keluar Lorong serta Lampu Tinggi Auto.

Ciri keselamatan standard pula antaranya ialah Bantuan Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability Assist), Sistem Brek Anti-Kunci (Anti-lock Braking System), Agihan Brek Elektronik (Electronic Brake Distribution), Bantuan Brek (Brake Assist) dan Amaran Berhenti Kecemasan (Emergency Stop Signal).

Varian RS e:HEV dan V dilengkapi enam beg udara.

Menerusi Honda Connect, ia membolehkan pengguna berhubung dengan kereta mereka menerusi satu sentuhan pada aplikasi telefon bimbit dengan fungsi telematik Diagnostik Kenderaan, Aplikasi Jarak Jauh, Aplikasi Keselamatan, Pemantauan Kenderaan dan Perkhidmatan Sokongan.

Pilihan warna membabitkan merah (Ignite Red Metallic) dan kelabu (Meteoroid Gray Metallic) selain putih mutiara (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam mutiara (Crystal Black Pearl).

Untuk pasaran Malaysia, Honda City Hatchback dijual pada harga RM75,670 (S), RM83,080 (E) dan RM87,860 (V).

Untuk varian RS e:HEV, ia akan ditawarkan pada awal 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:40 AM