WESTLIFE bakal mengadakan konsert di Shah Alam esok dan Jumaat ini,
WESTLIFE bakal mengadakan konsert di Shah Alam esok dan Jumaat ini,
Georgie Joseph


PENGANJUR konsert Westlife yang akan berlangsung esok dan Jumaat ini, Macpiepro mengesahkan permit mengadakan acara berkenaan yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam sudah lulus sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MacpiePro Berhad, Francis Leong berkata pembeli tiket tidak perlu risau disebabkan acara berkenaan tidak mungkin akan dibatalkan.

“Kami dengan sukacita memaklumkan permohonan permit bagi Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ in Kuala Lumpur sudah mendapat kelulusan daripada semua pihak terbabit termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pihak kami berusaha memohon permit untuk konsert ini mengikut prosedur ditetapkan. Kami sangat berterima kasih kepada MBSA serta semua pihak terbabit sebab meluluskan permohonan permit bagi konsert ini,” katanya.

Baru-baru ini, acara bertemu peminat penyanyi Korea Selatan, 2019 Kim Jae Hwan Fanmeeting MIN:D in Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam dibatalkan saat-saat akhir.

Lantas, insiden berkenaan sedikit sebanyak membuatkan ramai pembeli tiket gusar jika insiden anjuran UnUsUaL Entertainment dengan sokongan Macpiepro itu berulang.

Pada April lalu, tiket konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa apabila habis terjual dalam tempoh 32 jam saja.

Penjualan tiket secara rasmi yang dibuka menerusi laman web www.macpiepro.com turut habis terjual. Lebih 14,700 tiket berjaya dijual untuk konsert selama dua hari itu nanti.

Westlife yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan, dan Mark Feehily cukup popular pada penghujung 1990-an dan awal 2000.

Antara lagu popular mereka termasuklah If I Let You Go, Flying Without Wings, My Love, World of Our Own, Queen of My Heart, Uptown Girl, I Have A Dream, Swear It Again dan banyak lagi.

Bagaimanapun, pada 2012 kumpulan itu dibubarkan manakala seorang anggotanya iaitu Brian McFadden sudah terlebih dulu keluar daripada Westlife pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 4:09 PM