HARIZ (kiri) dan Haidar makin meraih perhatian.
HARIZ (kiri) dan Haidar makin meraih perhatian.
Najiy Jefri


Kehadiran dua pendatang baharu yang memperkenalkan diri sebagai Hariz Hamdan dan Haidar Hasanudin dalam bidang lakonan semakin meraih perhatian stesen TV dan syarikat produksi.

Siapa sangka, pembabitan mereka sebagai pelakon mula menjadi bualan ramai selepas berjaya menghidupkan setiap watak yang dibawakan.

Mengakui masih hijau dalam dunia seni, Hariz berkata, fokus utamanya adalah mencari rezeki dan menolak untuk menjalin cinta di usia muda.

Kata jejaka tampan berusia 22 tahun itu, dia mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk mengembangkan karier dan membina nama yang kukuh.

"Saya tak nak tambah beban lagi. Jadual kerja saya sangat padat sekarang dan masa untuk bercinta itu memang tidak ada.

"Lagipun saya masih muda, masa yang saya ada sekarang ni adalah untuk saya cari duit dan kembangkan karier saya.

"Bagi saya belum masanya lagi, tapi mungkin umur saya 27 ke 30 tahun baru saya akan bercinta," katanya ketika ditemui pada program Celebrate Earth Day With Hariz Hamdan di UM Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat situasi semasa yang berlaku membabitkan isu kecurangan dan pergolakan rumah tangga membabitkan selebriti, Hariz mengaku ada terbit rasa kegusaran untuk bercinta.

HAIDAR elak perkara yang boleh jejaskan nama baik.
HAIDAR elak perkara yang boleh jejaskan nama baik.

"Nak cakap takut dengan isu hubungan, buka aib sana-sini, adalah juga rasa gentar itu tapi bagi saya jangan buat hal. Bila bercinta kena sayang sepenuh hati.

"Sudah tentu kalau bercinta untuk main-main natijahnya akan berbalik pada diri sendiri sebab saya percaya kifarah itu wujud.

"Jadi sebelum nak berbuat apa-apa kena fikir impaknya kerana zaman sekarang memang kena pandai bawa diri," katanya.

Dalam masa sama, bekas peserta Hero Remaja 2020 itu berkata, dia sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Sejak dari awal karier dalam bidang seni, saya dah letak pemikiran apa pun berlaku semuanya di tangan Tuhan.

"Bukan nak cakap saya baik, walaupun saya rasa bukan insan sempurna tapi setiap hari saya cuba dekatkan diri dengan Tuhan untuk menjadi manusia yang lebih baik," katanya.

Haidar minat berlakon sejak kecil

HARIZ mahu manfaatkan usia muda dengan memberi tumpuan kepada kerjaya lakonan.
HARIZ mahu manfaatkan usia muda dengan memberi tumpuan kepada kerjaya lakonan.

Menyentuh mengenai pembabitan Haidar dalam industri seni hiburan, jejaka yang terkenal menerusi drama Layang-Layang dengan menggalas watak sebagai Arjuna itu enggan mensiakan-siakan peluang yang diberikan dan sebolehnya mahu menjaga nama baik keluarga.

Tambah pula, bergelar pelakon sudah menjadi keinginan dan cita-citanya sejak kecil.

"Memang saya minat berlakon sejak kecil. Baru sekarang saya diberi kesempatan untuk beraksi di depan kamera.

"Saya akan gunakan peluang yang datang sebaik mungkin untuk buktikan bahawa saya memang mempunyai bakat dalam lakonan.

"Sebagai pelakon baharu saya selalu berpesan kepada diri sendiri supaya tidak terbabit dengan sebarang masalah yang akan menjejaskan nama saya.

"Bagi saya, kalau pendatang baharu buat masalah agak sukar untuk membersihkan nama dan meraih kepercayaan semula. Disebabkan itu, saya tak nak cipta masalah kerana niat saya masuk dalam industri seni untuk mencari rezeki dan mengubah nasib keluarga," katanya.

Biarpun pada peringkat permulaan ini Haidar sering memegang watak pembantu, namun setiap peluang yang diberikan itu tidak akan disia-siakannya.

Haidar percaya, setiap pelakon akan melalui fasa sama dalam kerjaya mereka. Ibarat mendaki bukit, lama-lama pasti akan sampai ke puncak (kerjaya).

"Sebagai pelakon baharu, saya tidak boleh bersikap terlalu memilih. Watak yang diberikan kepada saya walaupun kecil, itu adalah permulaan untuk saya mencipta nama dan mendapatkan kepercayaan.

"Untuk peringkat awal, saya akan ambil apa saja watak yang ditawarkan. Sekurang-kurangnya untuk pengalaman. Cuma saya akan pastikan watak yang ditawarkan itu nanti boleh membantu saya untuk ke hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:01 AM