HAIDAR
HAIDAR
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Saya nak bersihkan nama saya sebab itu adalah fitnah. Bagi saya, ia satu tuduhan yang bersifat kurang ajar!".

Demikian kata pelakon, Haidar Hasanudin ketika dihubungi dan diminta mengulas mengenai dakwaan, dirinya terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 15 Mac lalu, dalam keadaan mabuk sekali gus menafikan tuduhan itu.

"Katanya, saya mabuk. Tapi, yang saya ingat adalah, beg udara keluar dan selepas itu, saya kebingungan. Disebabkan itulah, keesokan harinya, saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Doktor meminta saya merujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan saya disahkan hilang ingatan jangka pendek.

"Semua laporan perubatan pun ada. Bahkan, dua hari lalu (Sabtu) pun, saya sekali lagi ke hospital untuk menjalani CT scan (pengimbasan tomografi berkomputer)," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mustahil sekiranya seseorang individu yang mabuk, akan ke balai polis untuk membuat laporan memandangkan ia boleh dikategorikan sebagai kes berat.

"Beberapa hari selepas kejadian, pegawai dari balai polis menghubungi saya dan minta saya untuk hadir semula. Pegawai itu bertanya sama ada saya mabuk pada ketika itu.

"Saya jelaskan, kalau saya mabuk, mustahil saya akan datang ke balai polis untuk buat laporan polis sebab kalau terbabit dalam kemalangan dalam keadaan mabuk, itu adalah benda yang berat. Kalau betul saya mabuk pada ketika itu, mestilah pihak polis sendiri sudah jalankan ujian alkohol ke atas saya.

"Pegawai itu pun rasa pelik kerana menurutnya, individu itu datang marah-marah dan beritahu mengenai rakaman video saya dan sebagainya. Bahkan, pegawai itu juga beritahu saya bahawa bahagian saya sebenarnya dah selesai dah pun sebab saya berikan kerjasama," katanya.

HONDA City milik Haidar dan Proton Satria yang dilanggar.
HONDA City milik Haidar dan Proton Satria yang dilanggar.

Tambah Haidar, dia terpaksa menggunakan khidmat peguam kerana tindakan individu itu turut memberi kesan buruk kepada kariernya sebagai pelakon.

"Mungkin bila dia bengang sebab saya tak setuju nak selesaikan mengikut cara dia di luar, dia mula cuba jatuhkan reputasi saya dengan memuat naik hantaran berbaur fitnah.

"Saya terpaksa gunakan khidmat peguam, kerana ada antara hantaran yang dimuat naik olehnya, dia turut 'tag' klien-klien saya yang mana, saya masih lagi terikat kontrak. Jadi, benda ini akan berikan kesan buruk kepada nama dan kerjaya saya," katanya.

Haidar yang pelakon drama bersiri Tetuan Ang & Rahimin turut membuat satu lagi laporan polis pada Jumaat lalu selepas menerima mesej berbaur ugutan daripada individu itu.

"Lagi satu, pada 24 Mac lalu, saya juga dah buat satu lagi laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields. Laporan polis ini adalah untuk soal keselamatan saya dan keluarga kerana dia mula mengugut.

"Antara ugutannya adalah, dia beritahu yang dia tahu di mana tempat tinggal saya dan di mana saya berada. Bahkan, dia juga memuat naik hantaran yang tertera nombor pendaftaran kereta saya," katanya.

ANTARA mesej berbaur ugutan yang diterima Haidar.
ANTARA mesej berbaur ugutan yang diterima Haidar.

Terdahulu, Haidar terbabit dalam kemalangan dekat Jalan Raja Laut di sini apabila kereta jenis Honda City yang dipandunya, melanggar kenderaan jenis Proton Satria di lampur isyarat.

Haidar bagaimanapun menjalankan tanggungjawabnya dengan membuat laporan polis dan bersedia untuk bertanggungjawab atas kesalahannya.

Namun, pemilik Proton Satria itu memuat naik hantaran di media sosial dengan maklumat berbaur fitnah ke atas dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 1:50 PM