Haidar Hasanudin
Haidar Hasanudin
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Haidar Hasanudin gementar untuk menantikan reaksi penonton terhadap drama bersiri ILYS yang kini menemui penonton di slot Akasia sejak semalam.

Haidar bagaimanapun bersyukur apabila watak Dr Aidan yang dijayakan mendapat maklum balas positif selepas disiarkan lebih awal di platform penstriman Viu pada Julai lalu.

"Drama ini sudah menemui peminat di Viu dan mendapat maklum balas yang baik. Namun kali ini bakal ditayangkan ke televisyen.

"Sudah pasti saya mengharapkan penonton yang belum menonton ILYS dapat menyaksikan drama bersiri ini di TV.

"Saya sangat berdebar nak tunggu apa orang akan komen mengenai lakonan sulung saya di slot Akasia TV3," katanya.

Untuk rekod, drama arahan Eyra Rahman itu adalah hasil adaptasi novel I Love You Stupid nukilan Melur Jelita dan disiarkan lebih awal di platform Viu sekitar Julai lalu.

Dalam pada itu, Haidar meluahkan rasa teruja apabila dapat berkerja sama dengan ramai bintang popular dan berbakat.

"Berlakon dengan MK K-Clique, Ezzanie Jasny dan pelakon hebat lain seperti Fauzi Nawawi, Lisdawati dan Ziha Salleh adalah pengalaman yang sangat indah.

"Saya menimba pelbagai ilmu baharu bersama mereka. Selain itu, saya sangat hormati Eyra Rahman sebagai sutradara dan seronok dapat bekerjasama dengannya lagi.

"Saya harap peminat dapat menerima ILYS dan semoga karya ini mendapat sambutan yang hangat dan diterima baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 12:43 PM