HAIDAR memegang watak sebagai Ashraff dalam drama Tetuan Ang & Rahimin.
HAIDAR memegang watak sebagai Ashraff dalam drama Tetuan Ang & Rahimin.
Najiy Jefri


Pelakon baharu Haidar Hasanudin gementar beraksi dengan pelakon jelita, Daiyan Trisha dalam drama bersiri Tetuan Ang & Rahimin yang kini sedang ditayangkan di Astro Ria.

Haidar berkata, pengalaman berlakon dengan Daiyan memberi satu pengalaman dan pembelajaran baru kepada dirinya.

"Menerusi drama Tetuan Ang & Rahimin saya membawakan watak sebagai Ashraff iaitu tunang kepada Budi lakonan Daiyan. Tetuan Ang & Rahimin membuka peluang untuk saya menjayakan watak pembantu, menjadi tunang kepada watak yang dibawakan Daiyan. Pada mulanya, saya sangat gementar untuk bergandingan dengan Daiyan.

"Apa yang pasti, Daiyan seorang pelakon berbakat dan cantik. Tipulah kalau tak rasa gementar ketika berdiri di sebelahnya," katanya.

Menurut Haidar, dia bersyukur apabila perasaan takut dan gementar dapat dikawal apabila melihat keramahan pelakon berusia 28 tahun itu di lokasi penggambaran.

HAIDAR gementar beraksi dengan Daiyan.
HAIDAR gementar beraksi dengan Daiyan.

"Daiyan sangat baik dan memberikan tunjur ajar kepada pelakon baharu seperti saya. Melihat keramahan Daiyan di set penggambaran, rasa gusar itu beransur hilang." katanya.

Optimis mengatur langkah dalam industri seni, Haidar mahu mengasah bakatnya dalam bidang lakonan dan berjaya seperti pelakon lain yang sudah mencipta nama ketika ini.

"Terima kasih kepada pelakon Rashidi Ishak kerana membuka rezeki saya untuk membintangi drama bersiri arahan Wan Hasliza dan Wan Alauddin ini. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai permulaan yang baik.

HAIDAR berharap karier seni lakonannya dapat diterima ramai.
HAIDAR berharap karier seni lakonannya dapat diterima ramai.

"Sedutan babak lakonan saya dan Daiyan juga menjadi tular di TikTok dan maklum balas yang saya terima sangat baik. Dalam perkembangan lain, saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem arahan Eyra Rahman.

"Saya memang serius mahu menceburkan diri dalam bidang seni, terutamanya pengacaraan dan lakonan. Saya mahu buktikan kebolehan dan mahu menjadi anak seni berjaya seperti Datuk Rosyam Nor dan Shaheizy Sam," katanya.

Selain Haidar, Tetuan Ang & Rahimin turut menampilkan lakonan Rashidi Ishak, Ben Amir, Anita Baharom dan ramai lagi.

Drama ini sedang bersiaran di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 6:30 AM