MEL tidak mudah terima cinta lelaki mahu bahagiakan emak dahulu.
MEL tidak mudah terima cinta lelaki mahu bahagiakan emak dahulu.
Ridzuan Abdul Rahman

JANGAN ingat apabila melakonkan watak penggoda dan 'gedik' dalam drama Curi-Curi Cinta bermakna Melanie Tan senang didekati lelaki.

Sebaliknya, gadis bangsa Sino berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini tidak mudah untuk menerima cinta mana-mana lelaki kerana mahu fokus terhadap karier terlebih dahulu.

"Cabaran sebegitu memang banyak, tapi saya memang tak layan kerana fokus saya pada kerjaya.

"Saya belum ada sasaran nak kahwin. Ibu pun beri kepercayaan dan saya tak mahu persiakan.

"Saya nak bahagiakan ibu dahulu sebelum memikirkan soal lain," katanya.

Melanie, 30, atau Mel berkata, dia bergelar pelakon secara tidak sengaja dan perlu memanfaatkan peluang itu sebaiknya.

"Pada awalnya saya berniaga air minuman di Pesta Kaamatan Sabah pada September 2016.

"Kebetulan ada pengurus produksi drama dari Kuala Lumpur yang berada di situ menegur saya serta mempelawa untuk hadir ke sesi uji bakat.

"Saya sahut cabaran ini dan tidak menjangka ditawarkan watak utama bergandingan dengan Aeril Zafrel dalam telefilem Negaraku 16 September," katanya.

Pernah mengambil Diploma Pengurusan Hotel di sebuah kolej swasta di Sabah, Mel hanya mengutip ilmu di set penggambaran bagi memantapkan skil lakonan.

"Perlahan-lahan saya belajar memperbaiki kekurangan yang ada. Saya memang kosong dan tiada asas langsung dalam lakonan.

SEBOLEH mungkin mengelak bercinta sesama pelakon.
SEBOLEH mungkin mengelak bercinta sesama pelakon.

"Satu demi satu tawaran berlakon diterima antaranya dalam Kuih Bakul Berkuah Rendang, Demi Tuhan Aku Bersaksi, Romeo Vs Juliet, Rumah No 10 dan banyak lagi.

"Tak sangka saya boleh terjebak dalam dunia lakonan. Ini adalah minat saya sekarang. Saya kini ada impian besar dan harapnya dengan kesungguhan ia akan tercapai.

"Ibu juga merestui minat saya dan dengan doanya, saya semakin sukses dalam kerjaya," katanya yang mula melangkah kaki ke ibu negara selepas berlakon telefilem ketiga.

Mel yang diuruskan Prokuya Studios berkata, namanya semakin menyerlah selepas membintangi drama Curi-Curi Cinta.

"Watak gadis gedik bernama Peggy memang berkesan sehinggakan peminat panggil saya dengan nama ini.

"Selepas itu saya tampil pula sebagai Kelly dalam drama Maaf Tak Indah. Karakternya agak lain dan peminat sukakan lakonan saya.

"Ikutkan saya sebenarnya dah diberikan pelbagai watak antaranya isteri yang didera, hantu dan banyak lagi. Saya menyukainya kerana ia adalah cabaran berbeza buat saya," katanya.

Diusik persoalan cinta, Mel berkata, seboleh mungkin dia mengelak bercinta sesama pelakon.

"Tapi, kalau dah ditakdirkan apa boleh buat. Cuma saya harap biar jodoh saya dengan orang bukan dalam industri.

"Sebabnya saya takut dan susah nak terima kalau pasangan saya itu berlakon dengan pelakon wanita lain.

"Tapi, bakal suami saya nanti perlu terima saya seadanya kerana lakonan ialah karier saya," katanya yang meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 35 tahun.

Selain berlakon, Mel juga aktif sebagai 'influencer' dengan melakukan review produk di Instagram serta Facebook.

Dia juga mengacara saluran YouTube Food Channel Malaysia di bawah kendalian Prokuya Studios.

BERSAMA pelakon Azrel Ismail dan Afifah Nasir (kanan).
BERSAMA pelakon Azrel Ismail dan Afifah Nasir (kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:00 AM