TERTUDUH (tengah) hadir bagi keputusan akhir kes pembelaan atas tuduhan membunuh. FOTO Aziah Azmee
TERTUDUH (tengah) hadir bagi keputusan akhir kes pembelaan atas tuduhan membunuh. FOTO Aziah Azmee
Faris Fuad


Shah Alam: Bekas pekerja teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang, disabitkan kesalahan menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Julia Ibrahim, membuat keputusan itu, hari ini mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) selepas meneliti dan memperhalusi keterangan tertuduh, saksi pendakwaan serta pembelaan, selain hujahan pada setiap peringkat secara keseluruhan.

Beliau berkata, beban membuktikan hak pertahankan diri daripada ancaman kecederaan terletak kepada tertuduh mengikut Seksyen 105 Akta Keterangan 1950.

Katanya, tertuduh gagal membuktikan ada ancaman kecederaan terhadapnya dan isteri daripada mangsa.

"Bagaimanapun berdasarkan keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati wujud hak mempertahankan harta daripada perbuatan khianat oleh mangsa.

"Ia iaitu merosakkan kereta (Toyota) Innova tertuduh dengan menggunakan kayu besbol tetapi hak pertahan harta tidak dilanjutkan hingga menyebabkan kematian mangsa.

"Mahkamah juga mendapati kredibiliti saksi pendakwaan kekal tidak tercabar hingga akhir kes pembelaan.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) KK. Sehubungan itu, tertuduh disabitkan di atas kesalahan," katanya.

Prosiding kemudian ditangguhkan ke 2.30 petang untuk hujahan peguam bela tertuduh, Wee Chong Keong dan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, berhubung hukuman.

Pada 22 Ogos 2019, Wei Liang, 45, didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, 29, di Lebuhraya Utara Selatan pada 10 Ogos tahun sama, mengikut Seksyen 302 KK yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Kejadian membabitkan tertuduh dan mangsa tular di media sosial dan dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:23 PM