FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang guru Bahasa Arab di sebuah sekolah rendah dihukum penjara sembilan tahun dengan dua sebatan, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia 10 tahun dengan memegang kemaluan mangsa.

Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Yong Zarida Sazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahril Shaffie, 33, yang turut dipanggil 'Ustaz' dalam kalangan anak muridnya selepas mendapati lelaki itu bersalah di akhir kes pembelaan.

Hakim juga mengarahkan tertuduh yang hadir bersama bapanya, menjalani khidmat kaunseling pemulihan selama lapan tahun.

"Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara," katanya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Terdahulu, Hakim Yong Zarida ketika membacakan penghakiman berkata, selepas meneliti keterangan-keterangan dan hujahan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu dan pendakwaan berjaya membuktikan kes di luar keraguan yang munasabah.

"Oleh itu mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam PG Cyril yang mewakili tertuduh, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan selesai didengar di Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jaminan dari RM8,000 yang dikenakan sebelum ini kepada RM15,000, berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sehingga rayuan selesai.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki itu dengan cara memegang kemaluan mangsa bagi tujuan seksual, antara pukul 12.15 hingga 12.45 tengah hari pada 22 November 2018 rumahnya di Subang Bestari, Shah Alam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh dikenakan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 4:23 PM