Balu Syed Muhammad Danial, Qistina Ayu Rozhan (hadapan) hadir bagi keputusan akhir kes pembelaan atas tuduhan membunuh pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Lebuhraya Utara Selatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Balu Syed Muhammad Danial, Qistina Ayu Rozhan (hadapan) hadir bagi keputusan akhir kes pembelaan atas tuduhan membunuh pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Lebuhraya Utara Selatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Faris Fuad


Shah Alam: "Setiap hari saya meratapi pemergian suami, kehidupan kami yang sepatutnya berlaku dan untuk anak berusia empat tahun yang masih tidak memahami apa maksud meratapi."

Demikian kata Qistina Ayu Rozhan, 32, isteri kepada pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, yang maut selepas dilanggar kenderaan dipandu bekas pekerja teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu.

Qistina Ayu yang juga kakitangan bank ketika membaca kenyataan impak mangsa sambil menangis di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini berkata, anaknya Sharifah Dian Malika tahu bahawa arwah ditempatkan di syurga.

"Namun, ia tidak menghentikan anak tertanya-tanya dan dia (anak) tanya mana bapanya serta kenapa tiada bersama keluarga, tetapi rakan bapa ada.

"Anak berharap arwah masih hidup supaya boleh bermain dengannya sepanjang hari. Anak akan terus lagi tertanya-tanya apabila dewasa dan berhadapan dengan situasi kematian bapanya.

"Malah, satu perkara yang menyayat hati untuk saya gambarkan kerana pada satu hari nanti, saya perlu memberitahu perkara benar kepada anak, kenapa bapanya meninggal dunia pada usia muda," katanya.

Qistina Ayu berkata, perlu ada keadilan demi Sharifah Dian Malika terhadap apa yang berlaku kepada suaminya dan untuk mengetahui kematian Syed Muhammad Danial tidak sia-sia.

"Anak akan mencari maklumat di internet pada tahun mendatang dan mengetahui mengenai kematian bapanya, kerana perkara dalam internet kekal selamanya.

"Adalah menjadi legasi saya untuk meninggalkan sebab yang kukuh atas kematian arwah dan keadilan sudah ditegakkan," katanya.

Susulan kenyataan Qistina Ayu, Hakim Julia Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas Wei Liang kerana menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.

Julia membuat keputusan itu berikutan Wei Liang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:22 PM