YEW Wei Liang dipenjara selama 16 tahun kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial  di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu. FOTO Arkib BERNAMA
YEW Wei Liang dipenjara selama 16 tahun kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu. FOTO Arkib BERNAMA
Faris Fuad

Shah Alam: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap bekas pekerja teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang, kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bangi, empat tahun lalu.

Hakim Julia Ibrahim membuat keputusan itu apabila Wei Liang disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa bermula tarikh tangkapan iaitu pada 10 Ogos 2019.

Julia berkata, pihaknya perlu mengambil kira faktor rayuan seperti latar belakang tertuduh, kesalahan pertama, kerjasama dalam siasatan dan tindakan mangsa dalam kes itu dalam menentukan hukuman yang wajar.

Menurutnya, mahkamah perlu menekankan kepentingan awam dalam kes seperti ini yang menuntut hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran kepada umum.

"Amukan yang bermula di jalan raya didorong rasa amarah dan tidak puas hati, selain disumbangkan penggunaaan bahan terlarang hanya mengundang akibat buruk.

"Sikap tenang dan mengawal emosi sebelum bertindak perlu dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini.

"Mahkamah juga menimbangkan kenyataan impak dari isteri mangsa dan kejadian ini adalah tragedi yang impaknya terhadap semua pihak secara langsung atau tidak langsung, bukan saja pada mangsa, tetapi isteri tertuduh dan keluarganya," katanya.

Terdahulu, peguam Wei Liang, Wee Choo Keong merayu anak guam dipenjara maksimum enam tahun.

"Jelas tidak adil dan tidak munasabah bagi mahkamah meletakkan kesalahan atas kematian mangsa kepada tertuduh semata-mata.

"Ia apabila tertuduh jelas tiada perancangan atau niat untuk menyebabkan kematian mangsa, sebaliknya kemalangan berlaku membabitkan kedua-dua pihak," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat dan setimpal iaitu penjara antara 21 hingga 25 tahun.

"Kes ini memberi impak besar kepada masyarakat dan pernah tular suatu ketika dahulu, selain hukuman berat wajar dikenakan kepada tertuduh supaya memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

"Tindakan tertuduh yang gagal mengawal emosi perlu beri pengajaran kepada masyarakat jika berhadapan situasi sukar di jalan raya," katanya.

Pada 22 Ogos 2019, Wei Liang, 45, berdepan tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial, 29, di lebuh raya berkenaan pada 10 Ogos tahun sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati.

Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di pusat perubatan swasta di Nilai, Negeri Sembilan pada hari kejadian.

Kejadian membabitkan tertuduh dan mangsa tular di media sosial dan dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 2:08 PM