GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Muar: Seorang penternak lembu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Muar di sini, selepas mengaku bersalah membunuh tanpa niat seorang penjual daging di Felda Chemplak, Labis, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Halijah Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahril Tamsir, 48, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan menyebabkan kematian Ahmad Radzi Jamaludin, 40.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tertuduh ditangkap iaitu 31 Ogos 2017

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di kawasan perniagaan Jalan Ubi, Felda Chempelak, Labis, kira-kira jam 7.30 pagi, 31 Ogos 2017.

Sebelum ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum dipinda ke Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abd Kadir.

Pihak pendakwaan sebelum ini memanggil 20 saksi sebelum menutup kesnya.

Menurut Muhammad, Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan prima facie bagi kesalahan membunuh bagaimanapun terdapat kes bagi kesalahan membunuh tanpa niat.

"Mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri dan meminda pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi, tertuduh mengaku bersalah.

"Mahkamah seterusnya selepas mendengar hujahan mitigasi (rayuan) dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap tertuduh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 4:30 PM