Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: "Pada usia 40 tahun saya sudah mengalami masalah tenaga batin. Sejak itu pelbagai rawatan saya lakukan termasuk mendapatkan suntikan filler secara haram. Namun ia hanya bertahan beberapa tahun sebelum alat kelamin saya menjadi buruk dan tidak bermaya kembali," kata seorang pesakit yang ingin dikenali sebagai Faizal (bukan nama sebenar) kepada wartawan.

Faizal yang mempunyai pelbagai penyakit lain seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis mengakui penyakit dialami menjadi punca 'kejantanannya' tercalar.

Selama lebih lima tahun, lelaki berusia 56 tahun itu mencuba pelbagai rawatan termasuk membeli pelbagai ubat kuat di pasaran gelap termasuk pil yang didakwa mampu merangsang alat kelamin.

Terakhir kerja 'gila' yang dilakukannya adalah memasukkan filler pada alat kelamin ditawarkan oleh juruterapi tidak bertauliah di pasaran gelap.

Katanya, selepas memasukkan filler di dalam alat kelaminnya, dia merasa kembali bertenaga namun ia hanya bertahan kurang empat tahun dan alat sulitnya menjadi hodoh.

"Ketika itu, saya mula merasa menyesal dengan keadaan alat sulit saya semakin buruk. Saya malu pada isteri.

"Akhirnya saya berjumpa dengan dengan doktor bertauliah yang mempunyai kaedah rawatan lebih profesional bersandarkan sains untuk membantu masalah dihadapi.

"Doktor bertauliah memberikan saya ubat untuk merangsang hormon testosteron. Syukur sejak mendapatkan rawatan pertama ini, saya sudah kembali pulih dan akan ke peringkat rawatan seterusnya iaitu menerusi kaedah rawatan P-shot," katanya.

Jelasnya, orang ramai terutama lelaki yang sudah berusia dan mempunyai pelbagai penyakit dinasihati tidak mengambil risiko seperti dirinya yang mendapatkan rawatan di pasaran gelap.

"Pertama, rawatan di pasaran gelap hanya membuang duit sahaja walaupun harga ditawarkan lebih murah berbanding doktor bertauliah.

"Kedua, kesannya tidak pasti dan paling membimbangkan apabila berlaku komplikasi. Kos memulihkan keadaan jauh lebih tinggi," katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Ramli (bukan nama sebenar), 36, mengakui kehidupan yang obses kepada pekerjaan menyebabkan tenaga batinnya menurun ketika bersama isteri.

Selama enam tahun dia mengalami tekanan kerana tidak mampu [bertahan lama' ketika bersama isteri.

Mujur isterinya yang bekerja di dalam bidang perubatan membantunya bagi menyelesaikan masalah batin dialami.

Ramli berkata, selain tertekan dengan masalah kerja dia juga mempunyai berat badan berlebihan menyebabkan sukar mendapatkan kualiti sperma yang baik.

"Saya sudah berkahwin dengan isteri lebih lima tahun. Hanya di awal perkahwinan sahaja hubungan intim kami dalam keadaan baik. Selepas itu, saya mula sibuk dengan dunia kerja.

"Setiap hari pulang dalam keadaan penat. Makan tidak menentu menyebabkan berat badan naik mendadak dan menjadi obesiti. Mulanya saya menyangka perkara ini hanya seketika namun berterusan sehingga bertahun," katanya.

Jelasnya, dia juga merasa malu dengan isteri kerana keadaan itu. Namun, tidak berani untuk berbincang secara terbuka sehinggalah isterinya sendiri mencadangkan untuk dia mendapatkan rawatan doktor.

"Awalnya rasa malu tetapi apabila isteri menyatakan impian mahu memiliki zuriat, saya akur dan berjumpa dengan doktor bertauliah untuk mendapatkan rawatan sepatutnya.

"Sepanjang saya mengalami masalah ini, saya tidak pernah mendapatkan rawatan daripada mana-mana pihak termasuk membeli ubat di pasaran gelap kerana masih mempunyai kesedaran mengenai hal itu boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Katanya, selepas setahun mendapatkan rawatan daripada doktor bertauliah terutama menerusi rawatan P-shoot, akhirnya dia kembali bertenaga dan kini sudah pun mempunyai seorang zuriat.

"Pada saya apabila sudah mempunyai masalah batin jangan malu dan itu kesilapan saya dahulu. Kita perlu menyelesaikan perkara ini secara terbuka terutama berbincang dengan pasangan dan berjumpa dengan doktor bertauliah," katanya.

DR Shaiful Bahari
DR Shaiful Bahari

Suntikan filler ada kesan sampingan

Kuala Lumpur: Golongan yang mempunyai masalah syahwat disaran tidak mengambil risiko mendapatkan rawatan di pasaran gelap termasuk di pusat kecantikan kerana ia mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan alat sulit.

Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, individu yang mendapatkan rawatan alat kelamin di pasaran gelap bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan alat sulit malah mengakibatkan tekanan mental.

Katanya, kaedah suntikan filler atau praffin demi mendapatkan saiz alat sulit yang lebih besar menerusi rawatan ditawarkan individu tidak bertauliah boleh memberi kesan sampingan seperti alat kelamin menjadi lebih hodoh selain mengakibatkan mati pucuk.

Jelasnya, terdapat juga pesakit yang mendakwa pasangan mereka menjadi trauma untuk 'bersama' kerana keadaan alat sulit mereka yang kelihatan tidak normal seperti besar di pertengahan zakar atau kulit yang buruk.

"Lelaki bermasalah perlu berjumpa dengan doktor pakar bertauliah.

"Tindakan memasukkan benda asing atau menyarung objek pada kemaluan untuk kelihatan luar biasa hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan. Mereka akan mudah mendapat jangkitan kuman dan masalah kesihatan lain," katanya.

Mengulas mengenai pemakaian cincin atau gelang katanya, perkara itu juga perlu mendapat nasihat daripada doktor bertauliah dan tidak boleh membeli dan terus memakainya.

"Apabila seseorang itu memakai gelang atau cincin pada alat kelamin tanpa mendapatkan nasihat doktor, kita khuatir saiz gelang atau cincin itu tidak sesuai dengan mereka.

"Perkara itu yang menyebabkan kejadian tersangkut dan akhirnya perlu dirujuk ke hospital untuk menyelesaikan masalah yang dicipta sendiri," katanya.

DR Noh
DR Noh

Mahu penuhi imej maskulin

Kuala Lumpur: Berdasarkan perspektif psikologi tingkah laku mendapatkan rawatan pembedahan membesarkan alat kelamin boleh difahami daripada perspektif tingkah laku kelompok dan juga tingkah laku individu.

Ahli Psikologi Klinikal Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku (PPK&KTL) Pusat Penyelidikan Komuniti (REACH) Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Noh Amit berkata, kedua-dua peringkat tingkah laku ini adalah berkaitan dalam pembentukan dan pengukuhan identiti atau imej maskulin yang ideal dalam kalangan ahli kelompok dan individu.

Katanya, kedua-dua tingkah laku kumpulan ini adalah saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Hal ini kerana individu adalah ahli kepada sesuatu kelompok oleh itu tingkah laku dan pemikiran dalam sesuatu kelompok itu saling mempengaruhi tinigkah laku kelompok dan juga individu dalam kelompok berkenaan.

"Pada peringkat kelompok dan individu, identiti atau imej maskulin lelaki dilihat sebagai individu yang kuat, gagah dan perkasa secara lahir dan batin serta berkeupayaan memberi kepuasan seksual kepada pasangan hidup mereka. "Kebiasaannya identiti atau imej maskulin yang ideal ini diteguhkan dalam naratif atau komunikasi dan interaksi dalam kalangan ahli kelompok dan budaya sesuatu masyarakat," katanya.

Jelasnya, manakala pada peringkat tingkah laku individu, sesetengah individu cenderung bergerak untuk memenuhi tuntutan peneguhan identiti atau imej maskulin ini dan berkemungkinan menggunakan rawatan pembedahan (pembesaran) alat kelamin salah satu cara untuk mencapainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 12:02 PM