MASALAH keputihan melampau boleh menjejaskan hubungan suami isteri.
MASALAH keputihan melampau boleh menjejaskan hubungan suami isteri.
Hafiz Ithnin

SEBELUM ini terdapat laporan media mengenai dakwaan seorang bekas suami yang mengatakan bahawa bau alat kelamin milik si isteri tidak ubah seperti bau ikan masin.

Dek mulut lancang bercerita soal dalam kelambu, akhirnya si bekas suami itu yang juga seorang aktor dari negara seberang berkenaan didakwa bekas isterinya.

Nah! Menang nampaknya si isteri menyaman malu kerana diaibkan secara terbuka. Soal alat kelamin wanita berbau antaranya disebabkan keputihan sebenarnya bukan sesuatu yang asing kerana ia adalah perkara yang dialami ramai wanita selepas berkahwin.

Mengulas mengenai perkara itu, Perunding Kesuburan dan Sakit Puan, Metro IVF, Dr Prakash Mayandi berkata, terdapat kajian yang menunjukkan hampir 75 peratus wanita yang sudah berkahwin berhadapan dengan masalah keputihan.

Ia berikutan aktiviti seksual dan ia sememangnya bukan suatu tanggungjawab seorang isteri sahaja yang perlu menjaga diri sendiri tetapi suami juga perlu memainkan peranan sebagai individu untuk memahami dan menawarkan diri membantu.

Beliau menjelaskan, setiap pasangan perlu memahami keadaan isteri yang mengalami keputihan melampau sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan adalah disebabkan jangkitan kuman.

SUAMI perlu menjadi individu yang sentiasa membantu isteri dalam menangani isu kesihatan bersama. - FOTO Google
SUAMI perlu menjadi individu yang sentiasa membantu isteri dalam menangani isu kesihatan bersama. - FOTO Google

"Keputihan yang keluar dari faraj berfungsi sebagai proses pembersihan sistem reproduktif wanita yang membantu untuk menjaga kawasan keintiman supaya bersih dan lembap serta mengurangkan jangkitan bakteria daripada berlaku.

"Masalah keputihan bergantung kepada masa dalam kitaran haid. Adakalanya berwarna putih jernih atau susu, tebal, melekit, licin dan mungkin berbau.

"Wanita turut mengalami keputihan ketika ovulasi, kehamilan, penyusuan, menggunakan alat kawalan kelahiran atau terangsang secara seksual," katanya.

Jelasnya, sekiranya si isteri mengalami masalah keputihan melampau, suami perlu menjadi individu yang bertanggungjawab untuk membawa pasangan bertemu pakar bagi memastikan wanita tidak terus menanggung masalah itu berseorangan.

MENGGUNAKAN bahan  pencuci wanita yang tidak sesuai boleh memburukkan lagi masalah keputihan. - FOTO Google
MENGGUNAKAN bahan pencuci wanita yang tidak sesuai boleh memburukkan lagi masalah keputihan. - FOTO Google

"Wanita yang mengalami keputihan dan tidak mendapat sokongan daripada suami terutama untuk bertemu doktor pastinya mereka rasa lebih merendah diri dan malu kerana masalah yang dianggap terlalu peribadi.

"Selain itu, sentiasa mengingatkan isteri supaya membersihkan alat kelamin selepas bersama," katanya.

Menjelaskan mengenai isu keputihan secara klinikal, pakar itu berkata, sekiranya mengalami keputihan yang likat, kemungkinan keputihan dari jangkitan yis.

"Cairan faraj berfungsi dengan baik untuk mengekalkan keseimbangan pH seluruh spektrum bakteria dan kulat yang tinggal di dalamnya. Dari masa ke masa, keseimbangan ini merosot dan bakteria atau kulat terus meningkat," katanya.

Sekiranya seseorang itu mengesyaki mempunyai jangkitan yis, terdapat beberapa pilihan rawatan disediakan berdasarkan pemantauan daripada doktor. Kebersihan di bahagian sulit wanita (faraj) perlu dijaga dengan baik supaya jangkitan tidak berlaku.

"Wanita sentiasa digalakkan untuk mencuci bahagian sulit dengan air bersih dan memastikan ia kering selepas membuang air kecil dan selepas aktiviti seksual.

BERJUMPA pakar perubatan adalah langkah terbaik untuk merawat masalah keputihan melampau. - FOTO Google
BERJUMPA pakar perubatan adalah langkah terbaik untuk merawat masalah keputihan melampau. - FOTO Google

MEMBERSIHKAN alat kelamin selepas membuang air kecil dan bersama penting untuk kesihatan faraj. - FOTO Google
MEMBERSIHKAN alat kelamin selepas membuang air kecil dan bersama penting untuk kesihatan faraj. - FOTO Google

"Kelembapan pada bahagian faraj akan menggalakkan pertumbuhan dan jangkitan mikro organisma seperti kulat dan bakteria," katanya.

Dr Prakash berkata, golongan wanita juga perlu menjaga kebersihan alat kelamin mereka termasuk tidak mengamalkan pemakaian bahan-bahan pencuci yang dikhuatiri dapat menambah kesan buruk.

Pakar itu turut menasihatkan golongan remaja yang sudah mencapai tahap matang supaya lebih memahami menjaga alat sulit mereka terutama tidak memakai seluar dalam yang terlalu ketat dan melebihi 24 jam.

"Mengamalkan cucian faraj dengan betul selepas membuang air kecil dari depan ke belakang sehingga benar-benar kering juga perlu menjadi perkara yang dititikberatkan.

"Jika tidak, bakteria mudah berkumpul pada kawasan lembap dan menyebabkan jangkitan pada faraj. Apabila adanya jangkitan, maka dengan mudah faraj berbau busuk," katanya.

Tambahnya, mengurangkan makanan yang bergula juga boleh membantu merendahkan risiko mendapat masalah keputihan yang melampau kerana kadar gula yang tinggi boleh meningkatkan lagi penghasilan bakteria dalam badan dan jangkitan kulat yang menjadi punca faraj berbau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 7:00 AM