Soalan: Di pangkal alat kelamin saya ada ketumbuhan kecil berwarna seperti kulit dan apabila ditekan atau dipicit akan terasa sedikit sakit. Saya pernah membaca mengenai ketuat kemaluan, oleh itu adakah ketumbuhan di zakar saya ketuat?

Ketumbuhan kecil itu tak mendatangkan masalah pada saya, sama ada waktu ereksi dan waktu biasa, tetapi saya menjadi tidak selesa apabila melihat ketumbuhan pada zakar.

Boleh saya tahu cara merawat, kos rawatan sama ada pembedahan mahupun perubatan (pil dan sapu) serta nama ubat supaya senang merujuk pada klinik bertauliah?

DIN

Batu Pahat, Johor

Jawapan: Kulit kawasan anggota kelamin adalah dari jenis kulit lembut dan lembap. Ke-lembapan adalah dari pelembap semula jadi yang dihasilkan oleh pundi pelembap dari akar bulu roma.

Apabila kelembapan hilang akibat dicuci dengan sabun, kulit menjadi kering dan tegang. Ini membuatkannya terasa gatal dan tanpa disedari, anda meng­garunya. Apabila kulit melecet akibat digaru, mudah untuk kuman, kulat dan kuman virus ketuat me­nyerang kulit yang terdedah.

Perkara sama juga berlaku apabila bulu roma di kawasan itu dicukur. Kulit menjadi radang, pembukaan salur pundi pelembap tertutup dan kawasan itu menjadi kering.

Jarang pundi pelembap yang bermasalah itu radang dan menjadi 'jerawat'. Apabila kulit di bahagian itu kering dan digaru, kulit melecet dan radang, seterusnya mudah terdedah kepada kuman, kuman virus ketuat atau kulat.

Pakaian dalam yang ketat menggesel kulit bahagian kelengkang dan boleh membuat-kan kulit kawasan itu kering dan terasa gatal. Geselan kulit yang kronik membuatkan kulit kawasan itu menebal dan berkumpul sebagai kutil.

Selain ketuat, kutil dan 'jerawat', ada pelbagai lagi gejala penyakit kulit di kawasan ang-gota kelamin. Oleh itu, individu yang mengalami perubahan kulit perlu berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan.

Memandangkan ketuat mudah merebak, ia tidak boleh ditekan atau dipicit. Jika dipicit, ia boleh membesar. Anda perlu berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan doktor akan menentukan jika masalah kulit yang anda alami itu ketuat atau sebaliknya.

Saya tak perlu nyatakan mengenai kaedah rawatan yang anda perlu jalani. Yang penting, anda jangan merawat masalah itu secara DIY (Do It Yourself), nanti parah. Jumpa doktor, itu paling tepat

dan betul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM