TEKNIK sulam kening jadi pilihan wanita untuk dapat alis yang cantik.
TEKNIK sulam kening jadi pilihan wanita untuk dapat alis yang cantik.
Oleh Ain Shafiqah Zaki


Kuala Lumpur: Teknik sulam kening antara pilihan wanita untuk mendapatkan alis yang cantik dan rapi sebagai pelengkap kecantikan untuk tampak menarik.

Bagaimanapun, untuk tampil menarik seperti diinginkan oleh wanita yang obses dengan kecantikan tidak menghalalkan teknik sulam itu kerana tidak dibenarkan dalam ajaran Islam.

Teknik berkenaan menawarkan penjimatan masa yang berbaloi untuk melukis kening setiap hari kerana ia akan kekal sekitar tiga hingga enam bulan dan ada juga sehingga setahun.

Rata-rata perkhidmatan harga sulam kening berharga RM180 hingga RM300 bergantung kepada tempoh ketahanan dan jika kekal lama harganya juga lebih tinggi.

Pengusaha kecantikan, Miya Jamaruddin mendakwa ramai wanita Islam terpedaya dengan kelicikan pemasaran oleh pengusaha Muslim yang 'gelap mata' demi keuntungan.

Menurutnya yang terbabit 13 tahun dalam industri berkenaan berkata, sebagai pengusaha Islam, pengusaha terbabit wajib menerangkan hukum teknik berkenaan dalam aspek agama Islam.

"Sulam kening berkait dengan solat, jadi kita sebagai pengusaha Islam wajib untuk memberitahu ia sama dengan tatu. Kebanyakan yang buat (teknik itu) kerana sedang 'trend'," katanya antara individu yang lantang menyuarakan hukum sulam kening di platform media sosial.

Dia mendakwa lebih 30 peratus pelanggan Muslim tetap berkeras meneruskan niat menyulam kening mereka biarpun sudah dijelaskan mengenai teknik itu yang menyamai kaedah tatu kerana menggunakan jarum mikro.

Katanya, pusat kecantikannya hanya menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan bukan Islam.

"Rata-rata pengusaha memancing pelanggan dengan promosi terutama di media sosial (dengan mendakwa) ia halal kerana menggunakan dakwat sumber organik," katanya.

Bagaimanapun, Miya mendakwa tiada istilah bahan organik kerana ia hanya untuk mengaburi mata dan berselindung di sebalik nama itu.

"Kebanyakan (pelanggan) yang datang sini selepas saya buat konten, ada yang menangis, tak tahu (hukum) sebab peniaga dakwa halal, sah solat dan dakwa 'henna embroidery'," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berkata, pihak berkenaan menggunakan teknik jarum untuk ditusuk ke dalam lapisan kulit.

"Mereka menggunakan teknik jarum untuk ditusuk ke dalam lapisan kulit yang mana mereka memasukkan pewarna, inai pewarna tulen atau organik dan pewarna tatu, dia masukkan ke dalam lapisan kulit. Jadi bila menggunakan kaedah tatu, hukumnnya sama seperti tatu," katanya.

Menurutnya, empat sebab perbuatan itu disifatkan haram iaitu kawasan tatu akan menjadi najis kerana terdapat darah beku selain ia mengubah ciptaan Allah SWT dan memudaratkan tubuh badan.

Katanya, teknik itu juga akan menyebabkan air terhalang untuk bersuci dan semua ibadah menjadi tidak sah.

"Mereka yang sudah terlanjur melakukan kaedah itu perlu bertaubat dan tatu itu wajib dihilangkan segera sekiranya tidak memudaratkan.

"Secara fitrah, wanita menyukai kecantikan namun sebagai orang Islam perlu mempunyai batas dalam berhias.

"Salah ke nak cantik? Dalam Islam tidak salah sebab Allah suka keindahan, cuma sebagai umat Islam hidup kita kena ada sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 8:01 AM