MUHAMMAD Rafieudin menunjukkan proses pengawetan mayat yang dilakukannya.
MUHAMMAD Rafieudin menunjukkan proses pengawetan mayat yang dilakukannya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Setiap mayat yang diawet bukan sahaja melalui proses mengerikan, malah 'menyakitkan' jenazah.

Ini semata-mata untuk memastikan 'kesegaran' mayat kekal bertahan lama sehingga tempoh seminggu sebelum dikebumi atau dibakar.

Selain kulit mayat ditoreh menggunakan pisau khas, perutnya turut ditusuk dengan sebatang besi tajam sepanjang satu meter dikenali sebagai trocar.

Trocar digunakan untuk menghancurkan organ dalaman seperti jantung, paru-paru, usus dan hati.

Kemudian, semua organ yang sudah dihancurkan itu disedut keluar.

Perkara itu dikongsikan Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid yang berpengalaman melakukan proses pengawetan 10 mayat ketika mengikuti kursus Diploma Pengawetan Mayat di sebuah kolej di Filipina pada 2019.

Katanya, kulit yang ditoreh adalah sama ada di bahagian atas kemaluan (ari-ari), leher atau tangan bertujuan mencari saluran darah (vein) bagi mengeluarkan keseluruhan darah.

"Seterusnya, saya perlu mencari urat untuk memasukkan 12 liter cecair larutan formalin ke dalam tubuh mayat. Proses ini dilakukan serentak.

"Cecair ini dicampur dengan pewarna merah yang fungsinya untuk mengeraskan mayat dan mengekalkan warna kulit, seolah-olah mayat masih 'hidup'," katanya.

Menurut Muhammad Rafieudin, ini adalah proses pengawetan penuh mayat manusia dan ia membabitkan mayat bukan Islam.

"Namun, proses sama akan dilakukan terhadap jenazah orang Islam yang meninggal dunia di luar negara dan waris mahukan jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di tanah air.

"Memang ramai tidak mengetahui bagaimana proses pengawetan mayat kerana prosedur ini dilakukan secara tertutup," katanya.

Menurut Muhammad Rafieudin, proses pengawetan mayat ini dijalankan selama kira-kira empat jam termasuk disolek dan lengkap berpakaian bagi bukan Islam.

Berkongsi lanjut, katanya, sebelum mengikuti kursus ini, dia pernah menyaksikan satu proses penuh pengawetan mayat membabitkan seorang warga asing beragama Islam yang dilakukan oleh orang bukan Islam untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

"Sangat mengejutkan kerana proses ini dilakukan secara kasar dengan keadaan mayat tanpa mengenakan seurat benang.

"Sedangkan dalam pengurusan jenazah Islam, ia dilakukan dengan penuh sopan dan tertib.

"Ketika itu, sukar untuk menggambarkan perasaan saya, ia bercampur baur antara sedih dan marah," katanya.

Kata Muhammad Rafieudin, pengalaman itu mencetuskan keinginan untuknya mengikuti kursus Diploma Pengawetan Mayat, biarpun terpaksa mengorbankan wang simpanan RM15,000 demi mendapatkan ilmu berharga ini.

"Ini adalah tanggungjawab fardu kifayah terhadap agama. Saya juga mahu 'membela' jenazah orang Islam supaya proses pengawetan mayat dilakukan oleh petugas Islam secara penuh hormat," katanya.

Muhammad Rafieudin berkata, dia juga memberitahu kaedah kedua proses pengawetan mayat yang kurang menyakitkan jenazah iaitu menerusi suntikan.

"Mayat akan disuntik dengan lima hingga 10 jarum suntikan yang mengandungi lima liter cecair larutan formalin di bahagian saluran darah pada tubuh.

"Selepas suntikan ini, tubuh mayat menjadi keras dan boleh bertahan sehingga dua hari.

"Kaedah ini sesuai bagi penghantaran jenazah menggunakan laluan udara dalam tempoh kurang daripada enam jam," katanya.

Menurut Muhammad Rafieudin, dia sudah melakukan lebih 30 proses pengawetan mayat menggunakan kaedah berkenaan.

Katanya, dalam Islam, adalah lebih baik jenazah dikebumikan di tempatnya meninggal dunia kerana ia dapat mengelakkan mayat daripada terseksa.

Jelasnya, dia pernah ditawarkan bekerja dengan syarikat pengendali proses pengawetan mayat dengan gaji lumayan, tapi menolaknya.

"Matlamat saya menceburi bidang ini kerana mahu memperjuangkan fardu kifayah dan menjaga maruah kesucian orang Islam yang meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:15 AM