GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Penyambungan bulu mata antara kaedah terkini yang menjadi pilihan ramai wanita sebagai pelengkap kecantikan serta menaikkan seri wajah yang lebih muda dan tahan lama.

Selepas penyambungan, bulu mata akan kekal melentik dan panjang setiap masa dan lebih mengujakan apabila tidak lagi perlu memakai bulu mata palsu, maskara dan mengambil ubat atau serum tertentu untuk mendapatkan hasil terbaik.

Pengusaha spa kecantikan, Yuhaine Sindam, 37, berkata, proses penyambungan dilakukan dengan melekatkan helaian bulu mata sintetik pada bulu mata asal menggunakan lapisan gam yang mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam untuk kering.

Menurutnya, hasilnya memang menarik menjadikan bulu mata lebih panjang dan lentik, sekali gus ia menambah seri wajah pada si pemakai serta memudahkan untuk bersolek tanpa perlu menggunakan maskara atau bulu mata palsu setiap hari.

"Proses dimulakan dengan khidmat nasihat, pemeriksaan bulu mata dan kemudian menyambung bulu mata sintetik mengikut pilihan pelanggan termasuk tahap panjang dan jenisnya.

"Saya lebih suka menggunakan bulu mata palsu (sintetik) berbanding bulu mata daripada rambut manusia yang lebih ringan dan mudah lari. Penyambungan dibuat meliputi bulu mata asli menggunakan gam khas," katanya ketika dihubungi.

Katanya, penyambungan bulu mata menjadi pilihan ramai dan mendapat sambutan kerana ia memudahkan kerja tatarias wajah yang tidak perlu mengambil masa lama untuk memakai bulu mata palsu selain ia mampu bertahan lebih lama.

"Kaedah ini digunakan wanita untuk tampil lebih menarik dan cantik selain untuk memudahkan kerja solekan bagi tuntutan kerja.

"Saya akan bekalkan syampu khas untuk mencuci bulu mata dan ajar teknik betul untuk mengeringkannya.

"Rawatan kecantikan ini tidak menyakitkan dan membahayakan kecuali si pemakai tidak menjaga dengan betul.

"Tanpa jagaan tepat bulu mata boleh berkulat dan dijangkiti kuman jadi kita perlu menjaga dengan elok supaya masalah itu tidak berlaku.

"Sebab itu pemeriksaan mata sama ada ia sensitif atau tidak penting sebelum melakukan penyambungan. Pelanggan juga perlu memastikan individu berkenaan mempunyai kemahiran dan bertauliah dalam bidang kecantikan selain menggunakan barang berkualiti," katanya.

Bagaimanapun, katanya, rawatan itu hanya dilakukan untuk pelanggannya yang bukan Islam kerana hukum menyambung bulu mata adalah haram dan sebagai Muslim dia memahami perkara itu serta tidak menawarkannya kepada wanita Muslim.

"Saya mengusahakan Yun Home Spa yang menawarkan rawatan muka, kuku kaki dan tangan untuk wanita saja.

"Walaupun mualaf saya tahu hukum rawatan itu melalui pencarian di internet selain ceramah agama, malah suami ada pesan mengenainya sebab itu saya tidak buat untuk wanita Muslim," katanya.

Katanya, sebelum memeluk Islam dia juga membuat penyambungan bulu mata kerana sebagai kru penerbangan dia perlu sentiasa tampil menarik dan menjaga personaliti selain menambah keyakinan diri.

"Saya juga pernah mengalami kesan sampingan kerana kerja pemasangan bulu mata tidak dilakukan dengan bersih hingga menyebabkan mata mengalami gatal-gatal seminggu.

"Agak takut juga kalau ia menjadi lebih serius tetapi sekarang saya sudah tidak membuat penyambungan hampir lima tahun lalu. Kalau kerja penyambungan dilakukan secara 'cincai' memang boleh mendatangkan kesan sampingan, tetapi tiada masalah kalau pemasangan mengikut cara yang betul," katanya yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang itu.

LAPORAN Harian Metro, 5 Januari 2024. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN Harian Metro, 5 Januari 2024. FOTO Arkib NSTP

Ambil kira soal hukum

Hukum penyambungan bulu mata adalah haram kerana mengubah ciptaan Allah SWT, sekali gus menunjukkan seseorang individu itu tidak reda dengan ketetapan Allah terhadap dirinya yang sepatutnya ia perlu disyukuri.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, ia juga ditegah oleh syarak berdasarkan nas syarak berkaitan larangan tabarruj (perhiasan melampau) khususnya bagi kaum wanita.

Menurutnya, selain pengubahan rupa bentuk fizikal sama ada dengan cara menyerupai berlainan jantina iaitu lelaki atau wanita atau menghiasi diri dengan tatu, sambungan rambut, ukiran gigi yang dilakukan oleh wanita jahiliah.

"Sebab pengharaman itu antaranya ialah dengan mengubah ciptaan Allah menunjukkan bahawa orang terbabit tidak reda dengan ketetapan Allah terhadap dirinya yang sepatutnya harus disyukuri dengan penuh kesabaran.

"Selain itu, pengubahan diri demi kecantikan juga menyebabkan berlakunya penipuan diri, scam dan gharar kepada orang ramai sehingga memperdayakan mereka daripada rupa sebenar orang terbabit," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia berkata, hukum menyambung bulu mata sama dengan hukum larangan menyambung rambut seperti hadis Nabi Muhammad SAW berdasarkan kaedah qiyas.

Menurutnya, pengharaman berkenaan merangkumi sebarang bulu sama ada bulu haiwan atau sintetik yang disambung pada bulu mata asli.

"Trend kecantikan seperti ini tidak sihat bagi penampilan seorang wanita Muslim dan menggambarkan fenomena tidak yakin terhadap diri sebagaimana setiap manusia mempunyai keistimewaan masing-masing yang diciptakan Allah SWT.

"Islam tidak menafikan penjagaan kecantikan wanita. Mereka boleh mencantikkan diri namun tertakluk kepada beberapa syarat seperti penjagaan aurat, penutupan rupa bentuk tubuh daripada dilihat lelaki bukan mahram, tidak mendorong syahwat, berhias secara sederhana untuk suami," katanya.

Menurutnya, sebarang tindakan mengubah sesuatu perkara yang ada pada tubuh seperti bentuk fizikal, warna kulit adalah dilarang termasuk mencantumkan bulu mata dan melukis kening, mencukur dan mencabut sama ada sikit atau banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 7:45 AM